08/12/2022
💟 Perkongsian dari Sheikhuna Youssef al Hasani dan Ummuna Sharifah Fatimah.
📖 Tajuk: Terima kasih, Sayyidina Yusuf. (Siri 1)
................................................................
Kata seorang penulis, Adham Syarqawi:
Beberapa hari sebelum ini, aku telah menghabiskan bacaan sebuah novel "Aku Yusuf" yang ditulis oleh seorang penulis hebat, Aiman al 'Atum.
Sejauh mana pun aku berkeinginan untuk menulis tentang ulasan novel ini, aku selalu merasakan aku tidak mampu menyifatkan kisahnya dengan sempurna.
Ia adalah sebuah penulisan yang cukup istimewa, penjelasan yang begitu mendalam dan terperinci berkenaan Kisah Saidina Yusuf alayhissalam, sebuah penjelasan yang aku kira belum aku mengetahui meskipun surah Yusuf sudah ku baca berulang kali.
Sungguh, penulis (Aiman al 'Atum) ini memiliki gaya bahasa yang cukup indah memikat dan menyihir hati pembaca.
Maka sedikit petikan daripada novel ini ku ambil untuk tatapan kalian dengan tajuk:
"Terima kasih Saidina Yusuf."
1) Terima Kasih Saidina Yusuf. Dari kisahmu aku mempelajari bahawa sebahagian orang itu membenci kita hanya kerana keistimewaan yang kita miliki bukan kerana keaiban yang menempel pada diri.
Maka boleh jadi mereka membencimu hanya kerana engkau itu rupawan, baik hati, dan tidak sama seperti mereka.
2. Aku juga mempelajari bahawa hinaan dan celaan terkadang datang dari arah yang tidak kita sangka. Terlihat jelas pada kisahmu wahai Saidina Yusuf ketika kau selamat dari ancaman serigala namun tidak selamat dari ancaman adik beradikmu sendiri.
3) Aku juga belajar bahawa aku tidak seharusnya menceritakan kepada semua orang tentang segala nikmat kebaikan yang Allah kurniakan kepadaku. Hal ini kerana sebahagian orang itu pandangannya selalu sempit dan ternyata hati mereka lebih sempit. Mereka selalu melihat apa yang dimiliki orang lain lebih daripada yang mereka miliki.
4) Aku juga belajar kalau orang-orang yang bersalah itu terkadang selalu berlagak memakai pakaian sang penasihat.
Demikianlah ucapan Iblis kepada bapamu Adam sebelum ini:
"Mahukah kau jika aku tunjukkan kepadamu pohon khuldi"
" Dan sesungguhnya kami hanyalah penasihat baginya."
" Dan sesungguhnya kami benar-benar akan menjaganya."
5. Bahawasanya aku juga mengetahui bahawa sebahagian kejahatan itu lebih hina daripada sebahagian yang lain. Sepertimana manusia itu berbeza darjat kebaikannya demikian p**a mereka berbeza pada darjat kejahatan masing-masing. Sungguh antara yang menjadi penyebab keselamatanmu adalah ketika ada salah seorang saudaramu yang lebih rendah darjat kejahatannya menyatakan: "Janganlah kalian bunuh Yusuf!"
6. Aku juga belajar untuk tidak sekali-kali mendedahkan hal yang menjadi ketakutan atau kebimbanganku supaya ia tidak dipergunakan oleh orang lain untuk kembali memerangiku.
Ayahmu telah berkata: "Sesungguhnya aku bimbang dia (Yusuf) dimakan serigala.." yang akhirnya digunakan oleh saudara- saudaramu dan menyatakan kepada ayahmu bahawa serigala telah benar-benar membahammu.
7. Aku juga belajar bahawa suatu kejahatan yang dilakukan tidak akan sempurna perlakuannya. Pelaku jenayah terkadang terlupa memerhatikan perkara-perkara kecil di dalam jenayahnya (hingga akhirnya membongkar kebusukan jenayahnya sendiri).
Saudara-saudaramu terlupa untuk mengoyakkan kemejamu (di saat mendakwa kau dimakan serigala). Maka serigala manakah agaknya yang membaham anak kecil sepertimu dengan membiarkan kemejamu masih dalam keadaan sempurna.
8. Aku juga mempelajari bahawa kebaikan dan keburukan bukanlah tertakluk kepada benda yang dimiliki tapi bagaimana cara untuk kita menggunakannya.
Kemejamu pada kali pertama dijadikan alat untuk berdusta. Namun pada lain waktu ia menjadi bukti p**a kesucianmu daripada tuduhan hina. Ada waktunya ia p**a menjadi ubat dan penawar (untuk ayahmu).
9. Aku juga mempelajari bahawa sungguh dunia ini tiada apa kebaikan padanya. Ia adalah seburuk-buruk tempat yang boleh dijual beli. Engkau sendiri sempat dijual hanya dengan nilai beberapa dirham.
10. Aku juga mempelajari bahawa sekolah-sekolah, universiti-universiti, dan buku-buku itu tidak lain hanyalah sebagai asbab. Sementara Guru yang hakiki itu hanyalah Allah semata-mata.
"Untuk Kami (Allah) ajarkan kepadanya (Yusuf) mentakwil mimpi"
"Dan bahawasanya Allah mengurniakan ilmu atas kadar taqwa"
"Dan bertaqwalah kalian kepada Allah dan Allah yang akan mengajarkan kalian"
Katahuilah bahawa yang selalu jadi permasalahan kepada kita bukanlah pada akal fikiran namun pada hati (yang selalu tidak memahami).
..........................................................
🧕🏻 Dikhidmati terjemahannya oleh: U. Kausar, moga Allah mengampuninya dan menerima khidmat ini di sisinya. Amin.