27/07/2026
UJIAN KENAIKAN TALI PINGGANG SIRI 1/2026
Alhamdulillah, Ujian Kenaikan Tali Pinggang Siri 1/2026 Kelab Taekwondo A&Z (TM/WTF) telah berlangsung dengan jayanya pada 24 Julai 2026 (Jumaat), jam 9.00 malam di Pusat Latihan Utama Permatang Sintok. Sesi ujian telah berakhir pada jam 11.00 malam.
Seramai 99 peserta telah mengambil bahagian dalam ujian kali ini dengan menunjukkan komitmen, disiplin serta semangat yang tinggi sepanjang sesi penilaian berlangsung.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta yang telah berjaya lulus ujian kenaikan tali pinggang. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus berlatih dengan lebih gigih, meningkatkan kemahiran serta membentuk jati diri sebagai seorang pengamal taekwondo yang berdisiplin.
Muhammad Afi Zafri bin Zainuddin, 6 tahun, anak bongsu saya juga tidak terlepas daripada menduduki ujian kenaikan tali pinggang kali ini.
Tahniah juga kepada Adik Dhia Zahra binti Razman, 14 tahun, pemegang tali pinggang putih, yang telah dipilih sebagai Peserta Ujian Terbaik atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang ujian berlangsung. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan yang lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Insya-Allah, saya akan meneruskan tradisi Kelab Taekwondo A&Z dengan memberikan tali pinggang baharu secara percuma kepada semua peserta yang berjaya bertukar warna tali pinggang. Walaupun kos minimum bagi setiap tali pinggang adalah sekitar RM12.00, saya percaya usaha ini merupakan satu penghargaan kepada setiap peserta atas kesungguhan dan pencapaian mereka.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Master Kasirul yang telah meluangkan masa untuk bertindak sebagai Pemeriksa Ujian bagi Siri 1/2026. Segala tunjuk ajar, pengalaman dan penilaian yang diberikan amat bermakna dalam memastikan standard ujian sentiasa terpelihara.
Terima kasih juga diucapkan kepada semua ibu bapa serta waris yang hadir memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak A&Z. Kehadiran serta sokongan anda merupakan antara faktor penting dalam membina keyakinan dan semangat mereka untuk terus maju dalam sukan taekwondo.
Untuk makluman, tali pinggang dan sijil akan diserahkan kepada semua peserta yang berjaya dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh ujian.
Semoga Kelab Taekwondo A&Z terus melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan, malah memiliki sahsiah, disiplin dan semangat juang yang tinggi.
Tahniah kepada semua. Teruskan berlatih, teruskan berusaha, dan teruskan melangkah ke tahap yang lebih tinggi!
ZAINUDDIN MOHAMED
Ketua Jurulatih