19/03/2026
𝗔𝗺𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗔𝗸𝗵𝗶𝗿 & 𝗦𝗲𝗹𝗲𝗽𝗮𝘀 𝗕𝘂𝗹𝗮𝗻 𝗥𝗮𝗺𝗮𝗱𝗮𝗻
Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم akan beristighfar pada setiap hari sebanyak 70/100 kali mengikut riwayat yang berbeza.
Daripada sunnah tersebut, para sahabat dan ulama selepas itu mengamalkan dan menggalakkan istighfar pada akhir Ramadan. Begitu juga pada akhir setiap amalan soleh dilakukan.
Diriwayatkan bahawa Umar bin Abdul Aziz telah mengutuskan surat kepada wilayah-wilayah Islam dan mengarahkan mereka untuk mengakhiri Ramadan dengan beristighfar.
Antara faedah beristighfar selepas melakukan amal soleh adalah agar kita tidak merasa bangga dan tertipu dengan amalan-amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini. Kerana berapa ramai yang terhapus pahala amalannya kerana diuji dengan riak dan taajub dengan amalannya sendiri.
Bagaimana perasaan riak dan taajub itu tidak hadir, kalau sebelum ini kita tidak terbiasa melakukan amalan-amalan soleh yang banyak seperti yang diamalkan pada 10 hari terakhir Ramadan. Maka akan datang syaitan menghasut dan memperdaya kita daripada jalan itu, ‘lihatlah diriku telah mengkhatamkan Al-Quran dalam keadaan fulan tidak mengkhatamkannya’.
Oleh yang demikian, perbanyakkanlah istighfar dan memohon ampun kepada Allah Taala agar amalan-amalan yang dilakukan diterima olehNya. Dan ingatlah bahawa sebaik manapun sesuatu amalan dilakukan, pasti akan ada kekurangan pada sebelum, semasa dan selepas melakukannya.
Demikianlah yang diajarkan Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan ianya jelas apabila baginda beristighfar selepas selesai menunaikan ibadah solat.
Diriwayatkan daripada sebahagian salaf bahawa mereka akan bersedia menyambut Ramadan pada 6 bulan sebelumnya dan 𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗯𝗲𝗿𝗱𝗼𝗮 𝗹𝗮𝗴𝗶 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝟲 𝗯𝘂𝗹𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗹𝗲𝗽𝗮𝘀 𝗥𝗮𝗺𝗮𝗱𝗮𝗻 𝗮𝗴𝗮𝗿 𝗮𝗺𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗺𝗲𝗿𝗲𝗸𝗮 𝗱𝗶𝘁𝗲𝗿𝗶𝗺𝗮.
Semoga Allah Taala menerima semua amalan kita di bulan Ramadan kali ini, ameen. كل عام وأنتم بخير
Faedah daripada Syeikh Abdul Salam asSyuwair
29 Ramadan 1447