25/05/2019
*MALAM KE-21*
Jumhur ulama mengatakan bahawa malam yang lebih diharapkan berlakunya Lailatul Qadr ialah malam ke-27, namun di sisi Imam kita, Imam al-Syafi'i, malam yang lebih diharapkan ialah malam ke-21 atau ke-23. Pastinya Imam al-Syafi'i tidak mengeluarkan pendapat berdasarkan akal semata-mata, lebih-lebih lagi apabila dilihat menyalahi jumhur dalam masalah ini. Antara dalil sahih yang menyokong pendapat yang memilih malam ke-21 ialah sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Sa'id al-Khudri رضي الله عنه bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah bersabda:
مَنْ كَانَ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَعْتَكِفْ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ وَقَدْ أُرِيتُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا وَقَدْ رَأَيْتُنِي أَسْجُدُ فِي مَاءٍ وَطِينٍ مِنْ صَبِيحَتِهَا فَالْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وَالْتَمِسُوهَا فِي كُلِّ وِتْرٍ
"Sesiapa yang beriktikaf denganku maka hendaklah dia beriktikaf pada sepuluh malam yang terakhir. Sesungguhnya aku telah diperlihatkan akan malam Lailatul Qadr kemudian aku dijadikan lupa akannya. Aku telah melihat diriku (pada malam Lailatul Qadr) bersujud pada air dan lumpur pada paginya. Maka (oleh itu) carilah Lailatul Qadr pada sepuluh malam yang terakhir dan carilah Lailatul Qadar pada setiap malam yang ganjil".
Kemudian kata Abu Said al-Khudri lagi:
فَمَطَرَتْ السَّمَاءُ تِلْكَ اللَّيْلَةَ وَكَانَ الْمَسْجِدُ عَلَى عَرِيشٍ فَوَكَفَ الْمَسْجِدُ فَبَصُرَتْ عَيْنَايَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى جَبْهَتِهِ أَثَرُ الْمَاءِ وَالطِّينِ مِنْ صُبْحِ إِحْدَى وَعِشْرِينَ
"Maka pada malam tersebut hujan telah turun dan adalah bumbung masjid (pada ketika itu) diperbuat daripada pelepah tamar dan dedaun. Lalu menitislah air daripada (bumbung) masjid. Maka aku melihat dengan dua biji mataku bahawa pada dahi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم terdapat kesan air dan lumpur pada pagi hari ke-21".
Berkata Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya: "Imam al-Shafi'i berkata: Hadis ini ialah riwayat yang paling sahih (tentang Lailatul Qadr)"
Malam ni malam ke-21. Marilah kita sama-sama memperbanyakkan ibadah dan doa. Jika sahabat-sahabat pembaca teringatkan hamba, maka sertakanlah hamba yang berdosa ini dalam doa kalian.
Yang mengharapkan maghfirah.