04/01/2026
REHLAH HADĪTHIYYAH UNITED KINGDOM 2025/26
FAEDAH 1: Tiga permintaan Al-Amīr, Tengku Mahkota (anak khalifah) kepada Imam Abū Dāwud.
AlhamduliLlāh pada hari sabtu 14 Rajab 1446H bersamaan 3 Januari 2026M, saya dan para peserta yang lain telah selesai menyempurnakan Riwayat Hadith bersama guru yang mulia, Al-‘Allāmah Al-Muhaqqiq Al-Musnid Al-Syaikh Muhammad Abū Al-Hudā Al-Ya’qubiy Al-Hasaniy حفظه الله وأدام النفع بفضيلته bertempat di Ashton Central Mosque, Manchester, UK.
Berikut merupakan senarai kitab hadith yang dibacakan secara sempurna di hadapan Syaikhina قرئ عليه وأنا أسمع:
1.Sunan Abī Dāwud
2.Jāmi’ Al-Tirmidhiy
3.Nukhbah Al-Fikar
4.Al-Manzumah Al-Baiquniyyah
5.Gharāmi Al-Sohīh
6.Lāmiah Ibn Al-Wardi
7.Risalah Abī Dāwud Ilā Ahli Makkah
8.Qā’idah Fi Al-Jarh Wa Al-Ta’dīl li Al-Tāj Al-Subkiy
9.Al-Tahsīl li Fawāid Al-Raf’ wa Al-Takmīl
10.Hadith Musalsal Bil Awwaliyyah, Bil Mahabbah dan Qirāah Surah Al-Soff
الحمد لله حمدا كثيراً طيبا مباركا فيه
TIGA PERMINTAAN AL-AMIR (TENGKU MAHKOTA)
Imām Abī Tōhir Al-Silafiy (w576H) meriwayatkan dengan sanadnya melalui Imam Al-Khattābiy meriwayatkan dengan sanadnya sehingga Abū Bakr Bin Jābir (khadim Imam Abi Dawud) bahawa beliau menceritakan:
“Aku ada bersama Imam Abu Dawud di Baghdad, suatu ketika selepas kami tunaikan solat maghrib, tiba-tiba pintu diketuk, seorang khadim al-Amir menyeru: “Al-Amir Abū Ahmad Al-Muwaffaq ingin meminta izin masuk”.
Lalu ia masuk menemui Imam Abu Dawud. Imam berkata kepadanya: “Apa yang membuatkan Al-Amīr datang pada waktu seperti ini?”. Lalu ia menyatakan tiga permintaannya.
PERTAMA: “Kamu berpindah dari Baghdad ke Basrah dan jadikan tanah air kamu supaya para penuntut ilmu rehlah kepada kamu sehingga Basrah hidup dan membangun semula kerana Basrah telah musnah dan tiada orang dek peristiwa yang terjadi berpunca daripada Mehnah Al-Zinj”. [Pemberontakan Al-Zinj yang diketuai oleh Ali Bin Muhammad telah berlangsung selama lebih daripada 14 tahun di Basrah bermula 255H sehingga 270H, beliau menentang kerajaan Bani ‘Abbasiah ketika itu].
KEDUA: “Kamu riwayatkan kepada anak-anakku kitab Al-Sunan kamu”.
KETIGA: “Kamu khususkan majlis riwayat tersebut kepada anak-anakku sahaja kerana anak-anak khalifah tidak boleh duduk bersama orang awam”.
Lalu Imam Abū Dāwud berkata: “Adapun permintaan ketiga ini, maka tidak ada jalan untuk ditunaikan kerana manusia itu sama ada orang atasan dan bawahan adalah sama sahaja dalam ilmu”
لأن الناس شريفهم ووضيعهم في العلم سواء
Khadim Imam Abū Dāwud iaitu Ibn Jābir mengatakan: “Mereka iaitu anak-anak khalifah hadir dalam majlis tersebut (yang diadakan di Basrah) selepas itu dan mereka duduk di satu sudut di bawah kubah dan diletakkan tirai antara mereka dan orang awam, mereka sama-sama mendengar Al-Sunan bersama orang ramai”.
Begitulah kemuliaan dan haibah seorang Imam dan ilmu di mata pemerintah dan orang awam ketika itu. AlhamduliLlāh sedikit sebanyak saya dapat rasakan perkara tersebut di majlis yang mulia ini. Ulama Rabbaniyyūn benar-benar dapat bangunkan ilmu, rohani dan tamadun manusia semisal di Basrah sehingga Imām Abū Dawud digelar sebagai Muhaddith Basrah محدث بصرة.
Manchester Airport (UK to Istanbul)
11:37pm
خالد بن سبت بن عبد الله الأزهري