20/11/2022
Posting 4 : Undang-undang yang diguna pakai untuk kes penderaan kanak-kanak.
1) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521)
Akta ini merupakan salah satu undang-undang yang memberi perhatian khusus kepada hal-hal keganasan rumah tangga. Berikut adalah mereka yang boleh membuat aduan jika keganasan rumah tangga sedang berlaku kepada Pegawai Polis yang bertindakg sebagai Pegawai Penguatkuasa atau Pegawai Kebajikan Masyarakat :
Suami / isteri
Bekas suami / isteri
Anak lelaki atau anak perempuan
Ibu atau bapa, abang, kakak, adik, atau
Mana-mana saudaa lain yang pada pendapat mahkamah adalah seorang anggota keluarga tersebut.
2) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)
Akta 611 telah mendefinisikan kanak-kanak dalam Seksyen 2 sebagai :
a) Seseorang yang di bawah umur 18 tahun ; dan
b) Berhubung dengan prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 82 Kanun Keseksaan.
Oleh itu Akta 611 terpakai kepada semua kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun, selain daripada dalam sesuatu prosiding jenayah. Ini adalah selaras dengan Akta Umur Dewasa 1971 yang menetapkan umur dewasa sebagai 18 tahun. Definisi kanak-kanak berbeza dari satu Akta ke Akta yang lain. Misalnya :
Seksyen 87 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) memberi takrifan kanak-kanak sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun.
Takrif kanak-kanak di bawah Akta Pengangkatan 1952 ialah seorang yang belum berkahwin dan di bawah umur 21 tahun.
Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 p**a membahagikan tafsiran kanak-kanak kepada dua, iaitu bagi kanak-kanak Islam, umur dewasa adalah 18 tahun, manakala bagi kanak-kanak bukan Islam, umur dewasanya adalah 21 tahun.
Walaupun Akta 611 tidak memperuntukkan bagi hak-hak penjagaan atau pemeliharaan secara nyata, ia boleh disirat dari beberapa seksyen dalam Bahagian V. Seksyen 18 memperuntukkan bagi pengambilan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan ke dalam jagaan sementara oleh mana-mana Pelindung[8] atau pegawai polis.
Seksyen 19 memperuntukkan bahawa setiap kanak-kanak yang diambil ke dalam jagaan sementara hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa 24 jam. Subseksyen (2) memperuntukkan bahawa jika tidak mungkin seorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa yang dinyatakan, maka kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Majistret yang boleh mengarahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai sehingga masa kanak-kanak itu dapat dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Jika seseorang kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam pemeliharaan seorang yang layak dan sesuai, pihak tersebut hendaklah mempunyai kawalan ke atas, dan bertanggungjawab bagi penyenggaraan kanak-kanak itu sama seperti ibu atau bapa kanak-kanak itu (seksyen 19(3)(a) ). Selanjutnya, subseksyen (3) memperuntukkan bahawa kanak-kanak itu hendaklah terus berada dalam pemeliharaan orang yang disebut dalam perenggan (a) walaupun kanak-kanak itu dituntut oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau mana-mana orang lain. Soalan yang timbul selepas mengkaji seksyen 19(3) ialah sama ada seksyen 19(3)(a) dan (b) menyebabkan kehilangan hak-hak penjagaan dan pemeliharaan seorang ibubapa atau penjaga ke atas seorang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan penjagaan?
Menurut seksyen 30 (1) apabila seorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah bagi Kanak-Kanak di bawah seksyen 19 atau 25, mahkamah boleh:
a) memerintahkan supaya ibu atau bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
b) membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan seorang yang layak dan sesuai selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
c) tanpa membuat apa-apa perintah lain atau sebagai tambahan kepada perintah yang dibuat di bawah perenggan (a) atau (b), membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan seorang Pelindung atau seorang lain yang dilantik bagi maksud itu oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah tersebut;
d) membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu di satu tempat selamat selama tempoh tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek; atau
e) dalam hal seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga atau yang telah terbuang, membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seorang ibu atau bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah selama tempoh 2 tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek, dan sementara menantikan itu, meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat selamat.
Jika satu perintah dibuat di bawah perenggan (e), Ketua Pengarah hendaklah dengan serta-merta berusaha untuk meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seseorang ibu atau bapa peliharaan (seksyen 30(2) ).
3) Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676)
Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan yang berhubungan dengan pemberian keterangan oleh saksi kanak-kanak, dan mengenai perkara-perkara lain berkaitan dengannya.
Bahagian II dalam Akta ini menerangkan cara pemberian keterangan oleh saksi kanak-kanak :
1) Seseorang saksi kanak-kanak boleh, pada mana-mana peringkat suatu perbicaraan, memberi keterangan dalam mana-mana satu atau gabungan cara yang berikut :
Dengan mengadakan suatu pengadang di antara kanak-kanak itu dengan tertuduh atau kanak-kanak yang dipertuduh atas mana-mana kesalahan ;
Dengan rangkaian secara langsung ; atau
Dengan rakaman video.
2) Bagi maksud seksyen ini, mana-mana keterangan yang diberikan di bawah subseksyen (1) hendaklah disifatkan sebagai keterangan yang diberikan dalam mahkamah terbuka.
Disediakan oleh :
NURAISHAH WAFA BINTI BAHARUDDIN (286452)