09/12/2022
POSTING 3: KEBURUKAN GAJET
NAMA: NORFAIEZAH BINTI KHAIRUL ANUAR
NO MATRIK: 293808
GROUP: 4
Kesan keburukan gajet kepada masyarakat:
Gajet memang membawa kebaikan kepada manusia namun disebalik itu terdapat juga keburukan gajet yang boleh membawa padah kepada kehidupan manusia. Antara keburukan gajet ialah:
1) Kurang berkomunikasi dengan orang lain
Apabila seseorang itu hanya cenderung bermain gajet individu itu akan bersifat anti sosial dimana dia kurang berkomunikasi dengan orang lain, hal ini boleh merenggangkan hubungan silaturahim antara manusia terutamanya dengan keluarga mahupun rakan-rakan. Misalnya masa kini, masyarakat kurang melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti gotong-royong, s**aneka dan lain-lain lagi kerana adanya gajet ini mereka lebih s**a menyendiri dan melayan gajet tanpa menghiraukan orang lain. Hal ini merupakan perkara yang tidak baik kerana ianya boleh membuatkan manusia bersifat pentingkan diri sendiri, sedangkan kita sebagai manusia hidup di bumi yang sama ini patutlah saling mengambil tahu antara satu sama lain dan saling membantu setiap kali menghadapi masalah agar jalinan ukhwah yang terbina sentiasa erat.
2) Faktor kesihatan merosot
Penggunaan gajet yang berlebihan dan tidak terkawal membuatkan individu mengalami masalah kesihatan, contohnya kesihatan mata terjejas. Hal ini kerana, melihat gajet melibatkan proses penglihatan aktif dimana mata perlu memfokus melalui proses akomodasi. MATA adalah organ yang paling sensitif dan pendedahan pancaindera ini terhadap sinaran biru ungu berbahaya secara berterusan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kelesuan, keletihan dan ketegangan mata serta penyakit mata yang serius. Setiap hari, mata kita kerap terdedah kepada sinaran biru ungu yang berbahaya terutama yang dipancarkan dari skrin digital seperti komputer, telefon bimbit, tablet serta peranti elektronik lain. Apabila seseorang itu menggunakan gajet terlalu lama, mata akan menjadi letih dan cepat kering dan mendorong pada masalah penglihatan iaitu rabun. Zaman sekarang, tidak lagi pelik sekiranya melihat kanak-kanak yang baru berusia 5 tahun sudah memakai cermin mata, kerana penggunaan gajet yang tidak terkawal ini lah yang membuatkan perkara- perkara sedemikian telah berlaku.
3) Mudah terpengaruh benda negatif
Gajet merupakan platform yang digunakan untuk kemudahan segala benda seperti yang kita tahu, tapi terdapat segelintir manusia yang menggunakannya untuk sesuatu benda yang tidak baik, misalnya menonton video lucah dan pornografi. Hal ini telah membuatkan individu tersebut mula membentuk peribadi yang negatif dan kesannya boleh membawa padah kepada diri sendiri, masyarakat lain serta mencemarkan imej negara. Contohnya kes rogol, cabul, pedofilia dan lain-lain lagi. Perkara ini berlaku kerana segala maklumat sudah tersedia di hujung jari dan bebas melihat apa sahaja tanpa memikirkan kesalahan dan dosa. Kesannya, ianya boleh meruntuhkan moral dan akhlak seseorang manusia itu lalu menjadi insan yang kurang beretika.
4) Ketagihan yang melampau
Segala benda yang terkandung dalam gajet membuatkan kita ketagih kerana segala hiburan boleh ditonton di gajet seperti instagram, youtube dan sebagainya. Hiburan memang menyeronokkan sehinggalah membuatkan kita alpa dan mahukannya selalu. Misalnya bermain gajet sehingga lewat malam dan ada yang sehingga tidak tidur langsung semata-mata untuk menggunakannya terutamanya generasi muda yang bermain aplikasi permainan yang hangat sekarang seperti Mobile legend dan Pubg. Bukan itu sahaja, keesokan pagi celik sahaja mata, kita mula mencapai telefon dan tidak sabar untuk mengetahui tentang apa yang berlaku seolah-olah sudah tiada masa lain. Hal ini dikatakan ketagihan yang melampau yang boleh membawa kesan buruk pada diri individu.
5) Radiasi
Radiasi ini boleh berlaku, kerana pancaran dan tranmisi tenaga yang disebarkan melalui ruang dalam bentuk gelombang. Ianya boleh memberikan kesan buruk pada kesihatan manusia seperti dapat merosakkan sel otak serta sel saraf manusia. Tindakan manusia yang sering meletakkan telefon bimbit atau lain-lain gajet bersebelahan dengan tempat tidur menyebabkan hal ini berlaku, mungkin hal ini mudah untuk kita tambahan lagi untuk mengunci jam menggunakan telefon bimbit, tapi ketahuila ianya dapat memberi kesan radiasi yang buruk pada kita. Harus kita ingat jangan hanya tahu ambil jalan mudah namun pada akhirnya kesannya membawa padah.
6) Berlakunya siber buli
Buli siber ialah tindakan menakutkan, mengecam serta memberi ancaman pada seseorang individu melalui media sosial. Mungkin ianya berlaku disebabkan rasa ketidakpuasan hati yang berlaku disebabkan konflik yang telah terjadi. Bermula dari itu, seseorang itu mula menghantar mesej yang berbau ugutan untuk menakut-nakutkan mangsa. Melalui kecanggihan gajet ini, manusia lebih berani melakukan ugutan tersebut, kerana ianya hanya dilakukan melalui alam maya dan bukannya di alam nyata, jadi orang lain akan tidak mengetahui siapa pelakunya yang sebenar. Manusia sebegini layak digelar pengecut kerana tidak berani menyelesaikan masalah secara baik dan beretika malah melakukan ugutan secara alam maya, mudah kata mereka ini digelar "keyboard warrior". Jelas nyata faktor ini merupakan perkara yang tidak berhemah dan beretika kerana ianya dapat memberi kesan yang buruk pada masyarakat dan negara. Oleh itu berfikirlah sewaras-warasnya sebelum anda melakukan sesuatu diluar kotak pemikiran anda.