13/07/2026
Dalam industri perikanan negara, masih wujud tanggapan bahawa ikan tangkapan liar lebih “semula jadi” dan berkualiti berbanding ikan ternakan.
Namun begitu, dengan kemajuan teknologi, penyelidikan dan amalan penternakan yang lebih bertanggungjawab, industri akuakultur kini menjadi salah satu sektor pengeluaran makanan yang paling cekap, selamat dan berpotensi besar untuk memenuhi keperluan protein rakyat Malaysia.
Walaupun ayam ternakan dan daging lembu diterima baik sebagai sumber makanan harian, ikan ternakan sering mendapat persepsi yang kurang baik (seperti rasa yang berbeza, bau yang dipengaruhi oleh persekitaran hidup).
Persepsi ini wajar diperbetulkan agar masyarakat memahami bahawa produk akuakultur tempatan bukan sahaja berkhasiat, tetapi juga penting untuk kelestarian sumber perikanan negara.
Status Semasa Industri Akuakultur Malaysia
Sehingga tahun 2023, industri akuakultur Malaysia melibatkan lebih 20,688 penternak yang mengusahakan kawasan seluas 25,381 hektar di seluruh negara. Pengeluaran industri ini mencecah 507,000 metrik tan setahun dengan nilai pasaran sekitar USD957 juta setahun.
Dari segi jenis ternakan, pengeluaran akuakultur negara didominasi oleh perairan payau dan laut (brackishwater/marine) yang menyumbang sebanyak 78 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala hanya 22 peratus datang daripada sumber air tawar.
Daripada komponen perairan marin, rumpai laut merupakan penyumbang tertinggi dengan jumlah pengeluaran sekitar 225,077 metrik tan, diikuti oleh ternakan ikan, udang, dan kerang-kerangan laut seperti kerapu, siakap, udang laut dan kupang yang menyumbang 168,719 metrik tan.
Akuakultur air tawar p**a menyumbang sekitar 113,070 metrik tan, terdiri daripada ikan seperti tilapia, keli, patin dan udang galah.
Angka ini menunjukkan bahawa sektor akuakultur marin - khususnya rumpai laut dan udang laut merupakan penyumbang utama kepada jumlah pengeluaran akuakultur negara, dan bukannya akuakultur air tawar seperti yang lazim dianggap. Oleh itu, hala tuju pembangunan sektor perlu mengambil kira nilai ekonomi tinggi daripada sumber marin dan potensi yang masih luas dalam akuakultur air tawar/ marin.
Namun begitu, sebahagian besar hasil perikanan negara pada masa kini (1.79 juta metrik tan - berdasarkan Laporan Tahunan Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia 2023) masih bergantung kepada sumber marin, yang menyumbang hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran perikanan, manakala sektor akuakultur menyumbang sekitar 30 peratus.
Namun, disebabkan isu eksploitasi berlebihan terhadap stok ikan laut dan penurunan kadar tangkapan marin sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Malaysia melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021–2030 telah merangka hala tuju baharu untuk memperkukuh sumbangan sektor akuakultur.
Menjelang tahun 2030, kerajaan menyasarkan perubahan struktur pengeluaran perikanan dengan 60 peratus daripada hasil perikanan negara datang daripada akuakultur dan hanya 40 peratus daripada perikanan tangkapan marin. Langkah ini bertujuan untuk memastikan kelestarian sumber marin, meningkatkan daya saing industri dan menjamin sekuriti makanan negara dalam jangka panjang.
Dari Kolam Ternakan ke Dapur Rakyat Malaysia
Industri akuakultur melibatkan pelbagai komponen yang saling berkait bagi memastikan bekalan ikan ternakan berkualiti dapat disediakan kepada pengguna sepanjang tahun.
Pertama, di peringkat pengeluaran benih dan induk bermula dengan pemilihan sumber induk sama ada daripada sumber tempatan atau import. Operasi hatcheri untuk spesies air tawar dan laut dijalankan dengan kawalan kualiti yang ketat termasuk pensijilan dan pengesahan kualiti benih. Benih berkualiti ini kemudiannya diagihkan ke ladang ternakan di seluruh negara.
Kedua, penghasilan makanan ikan adalah komponen penting yang mempengaruhi pertumbuhan dan kesihatan ternakan akuakultur. Bahan mentah makanan akuakultur diperoleh daripada sumber tempatan dan juga import, diikuti proses formulasi mengikut keperluan pemakanan setiap spesies. Makanan ini kemudian diproses dan dikilang sebelum dibekalkan ke ladang-ladang ternakan secara sistematik.
Selain itu, ada juga penternak yang memilih untuk memproses makanan ternakan sendiri menggunakan bahan organik (tidak mengandungi antibiotik, hormon, pewarna atau pengawet sintetik) dan selamat dimakan oleh manusia.
Ketiga, peringkat penternakan dan pengeluaran merangkumi pelbagai sistem seperti akuakultur air tawar untuk spesies seperti tilapia, keli, dan patin, manakala akuakultur laut merangkumi spesies seperti udang, kerapu, dan siakap.
Kaedah ternakan boleh menggunakan sangkar, kolam tanah atau sistem ternakan kitar semula (RAS - Recirculating Aquaculture System). Pengurusan biosekuriti dan kawalan kualiti air (seperti suhu, saliniti, pH air, kandungan oksigen, dan kekeruhan air), dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ternakan kekal sihat dan bebas penyakit.
Keempat, proses penuaian dan pengendalian lepas tuai memastikan hasil ikan ternakan sampai ke pengguna dalam keadaan segar dan selamat.
Proses ini merangkumi penggredan saiz, pengasingan, pengendalian ikan hidup, penyimpanan, serta pemprosesan seperti penyiangan, pemfiletan, pembekuan dan penghasilan produk nilai tambah.
Keberkesanan rantaian sejuk dan logistik amat penting untuk mengekalkan kualiti produk sehingga ke pengguna akhir.
Kelima, aspek pemasaran dan pengedaran merangkumi jualan di pasar borong, pasar runcit tempatan, serta eksport ke pasaran antarabangsa. Produk akuakultur Malaysia yang mematuhi piawaian dan pensijilan seperti MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) dan HACCP mampu menembusi pasaran global dengan lebih berdaya saing.
Koperasi dan agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memainkan peranan penting dalam memudah cara pemasaran. Di samping itu, penjualan terus kepada pengguna melalui platform digital dan e-dagang semakin pop**ar dalam memastikan akses terus kepada produk segar.
Akhir sekali, pengguna dan pasaran merangkumi pasar basah tempatan, pasar raya, restoran, serta pembeli institusi seperti hotel, hospital dan sekolah.
Produk akuakultur Malaysia juga mempunyai permintaan di pasaran eksport seperti China, Jepun, Kesatuan Eropah dan Timur Tengah. Pensijilan seperti MyGAP serta pelabelan ekologi memberi keyakinan kepada pengguna yang lebih peka terhadap isu keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar.
Sumber: Illisriyani, I. (2025)
Mengapa Sokongan Terhadap Akuakultur Tempatan Penting
Aspek kelestarian alam sekitar menunjukkan bahawa industri akuakultur berperanan penting dalam mengurangkan tekanan terhadap stok ikan liar di lautan, sungai dan tasik negara. Dengan adanya penternakan ikan yang diurus secara mampan, biodiversiti perairan dapat dipelihara dan sumber perikanan dapat dimanfaatkan secara berterusan oleh generasi akan datang.
Dari sudut keterjaminan bekalan makanan (food security), akuakultur memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses berterusan kepada ikan segar sepanjang tahun tanpa terlalu bergantung kepada hasil tangkapan bermusim yang sering terdedah kepada ketidakstabilan cuaca dan faktor alam. Langkah ini turut membantu menstabilkan harga ikan di pasaran tempatan serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap ikan import.
Dalam hal keselamatan makanan, pelaksanaan piawaian dan pensijilan seperti MyGAP membuktikan bahawa akuakultur negara dihasilkan melalui proses penternakan yang bersih, terkawal dan mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Dengan pensijilan ini, keyakinan pengguna terhadap kualiti ikan ternakan tempatan dapat terus dipertingkatkan.
Dari perspektif nilai pemakanan, ikan ternakan tropika seperti tilapia, patin dan keli menawarkan kandungan protein yang berkualiti tinggi, kaya dengan asid lemak omega-3 serta pelbagai mikronutrien penting yang diperlukan oleh tubuh badan. Pengambilan ikan ternakan ini dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan masyarakat secara menyeluruh.
Bagi aspek sosioekonomi, sokongan terhadap produk ikan ternakan tempatan memberi impak yang besar dalam meningkatkan pendapatan penternak, membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama di kawasan luar bandar, dan seterusnya merangsang pembangunan ekonomi setempat.
Industri akuakultur juga dapat membantu memperkukuh daya tahan ekonomi komuniti nelayan kecil yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Keselurahnnya, industri akuakultur wajar diiktiraf sebagai salah satu penyelesaian berkesan bagi menjamin keselamatan makanan negara, meningkatkan tahap pemakanan rakyat, serta memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.
Sokongan pengguna terhadap produk ikan ternakan tempatan yang mematuhi amalan pensijilan MyGAP akan terus memacu pertumbuhan industri ini secara mampan dan berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.
-- BERNAMA - https://bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2575843
Dr Illisriyani Ismail ialah Pensyarah, Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia.
(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)
Dalam industri perikanan negara, masih wujud tanggapan bahawa ikan tangkapan liar lebih “semula jadi” dan berkualiti berbanding ikan ternakan.