21/08/2026
[BENGKEL PENJAJARAN DAN PEMURNIAN KURIKULUM PROFESIONALISME PPJ: MEMACU PEMBANGUNAN BAKAT KOMPETEN APJM KE ARAH CoE ]
MELAKA – Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penjajaran dan Pemurnian Kurikulum Profesionalisme Pegawai Pengangkutan Jalan (PPJ) bagi Skim Gred 1, 5, dan 9 yang berlangsung dari 17 hingga 19 Ogos 2026. Inisiatif strategik ini bertujuan untuk memodenkan ekosistem pembangunan bakat kompeten Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dengan menjadikan Occupational Framework (Kerangka Pekerjaan) sebagai DNA utama kurikulum. Fokus bengkel ini tertumpu pada penghasilan Kurikulum Profesionalisme berimpak tinggi yang dijajarkan sepenuhnya dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SM.1 di bawah Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam (DPBPA) serta aspirasi Dasar TVET Negara 2030 demi melahirkan Bakat Kompeten yang memenuhi etos perkhidmatan.
Bagi memastikan kandungan kurikulum ini kalis masa hadapan, reka bentuk latihan dilaksanakan secara saintifik melalui kaedah latihan berteraskan data yang melibatkan proses Training Needs Analysis (Analisis Keperluan Latihan - TNA) serta Learning Needs Analysis (Analisis Keperluan Pembelajaran - LNA) yang tuntas. Sebagai langkah mendepani era digital, kemahiran kecerdasan buatan (AI) kini disepadukan secara rasmi ke dalam kurikulum bagi memperkasa kecekapan analisis dan operasi harian pegawai. Berteraskan kerangka DPBPA, pemurnian kurikulum turut mengintegrasikan elemen Think Lead Speak Act (TLSA) dan instrumen myKompetensi bagi memastikan fasa penilaian bakat serta pembangunan kerjaya pegawai dilakukan secara bersasar melalui Pemetaan Kompetensi generik dan fungsian secara holistik.
Secara khusus, komponen Kepimpinan IMPACT (Influence & Inspire, Mindset & Mastering, Performance & Professional, Adaptive & Agile, Command & Communicating, Trust & Transformation) diberi fokus utama bagi skim Gred 5 dan Gred 9 sebagai acuan navigasi tingkah laku untuk membentuk barisan kepimpinan pertengahan yang memiliki minda biru, kemahiran tinggi, serta ketangkasan mendepani perubahan organisasi secara dinamik. Melalui kolaborasi kepakaran bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan para tenaga pengajar program, APJM menterjemahkan hasil analisis tersebut dengan menerapkan etos perkhidmatan awam, kecekapan operasi, produktiviti tinggi, dan nilai integriti sebagai teras utama pembentukan sahsiah PPJ yang berwibawa.
Sistem penyampaian kurikulum ini diperkukuh melalui Pendekatan 70:20:10 yang mengintegrasikan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi kaedah Place and Train di bawah status Akademi Dalam Industri (ADI). Struktur latihan ini mengoptimumkan model pembelajaran yang merangkumi 10 peratus pembelajaran formal melalui modul teori secara in-house di APJM sebagai institusi induk, 20 peratus pembelajaran sosial menerusi bimbingan, pementoran, dan perkongsian kepakaran dalam ekosistem Teaching Factory (TEFA), serta 70 peratus pengalaman praktikal melalui fasa Work-Based Learning (WBL) di pejabat-pejabat JPJ sebagai premis cawangan.
Pendekatan proaktif terhadap peserta Kursus Profesionalisme PPJ Gred 9 dan Gred 5 bagi Siri 1 Tahun 2026 ini mendedahkan kadet serta perantis secara langsung kepada persekitaran kerja sebenar dan Core Business jabatan. Langkah ini penting bagi melahirkan pegawai yang tangkas dan Kompeten Akta 333 (Akta Pengangkutan Jalan 1987), Akta 334 (Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987), dan Akta 715 (Akta Pengangkutan Awam Darat 2010) di bawah perundangan yang berkuat kuasa.
Secara keseluruhannya, transformasi kurikulum berimpak tinggi ini dipandu sepenuhnya oleh prinsip Outcome-Based Education (Pendidikan Berasaskan Hasil - OBE) bagi memastikan setiap aktiviti latihan diterjemahkan kepada hasil prestasi yang boleh diukur. Melalui penguasaan amali berpandukan aplikasi teknologi moden dan prosedur operasi standard yang ketat, Kurikulum Profesionalisme ini berupaya melahirkan generasi baharu PPJ Berketrampilan dengan Bakat Kompeten yang tangkas, produktif, serta berfikiran aras tinggi. Keberhasilan ini amat kritikal bagi memimpin agenda Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) dan Reformasi Budaya Kerja (RBK), sekali gus meletakkan JPJ sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi yang cekap, telus, pantas, dan berintegriti demi memacu matlamat APJM ke arah status Centre of Excellence (CoE) dalam bidang pengangkutan jalan.
"Kita perlu membina manusia dahulu sebelum melahirkan produk atau perkhidmatan."(Mantan Ketua Setiausaha Negara)