09/07/2026
🏐 KEJOHANAN BOLA BALING MSSD KOTA TINGGI 2026
TAHNIAH PASUKAN BOLA BALING SK MUZAFFAR SYAH! 🏐
Alhamdulillah, Kejohanan Bola Baling MSSD Kota Tinggi 2026 telah melabuhkan tirainya. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan Lelaki B12 dan Perempuan B12 SK Muzaffar Syah atas semangat juang, komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Bagi saingan Lelaki B12, SK Muzaffar Syah memulakan aksi pusingan kalah mati dengan langkah cemerlang apabila berjaya menewaskan SK Teluk Sengat/Layau dengan keputusan 5-2 pada pusingan 16 terbaik. Namun, perjuangan mereka terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas tipis 2-3 kepada SK Felda Lok Heng Selatan dalam satu perlawanan yang cukup sengit dan mendebarkan hingga ke wisel penamat.
Sementara itu, Pasukan Perempuan B12 turut mempamerkan aksi yang membanggakan apabila berjaya mara ke peringkat suku akhir sebelum akur dengan kekuatan SK Sedili Besar selepas tewas 2-6.
Lebih membanggakan, penyertaan tahun ini merupakan kali pertama SK Muzaffar Syah menghantar pasukan bola baling ke Kejohanan MSSD Kota Tinggi setelah sekian lama. Kejayaan kedua-dua pasukan mara sehingga ke peringkat suku akhir merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi petanda bahawa sukan bola baling di SK Muzaffar Syah mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang pada masa hadapan.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada barisan jurulatih, guru pengiring, ibu bapa serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukan sepanjang kejohanan berlangsung.
Menang bukan ukuran utama, tetapi keberanian untuk mencuba, semangat untuk berjuang dan kesungguhan untuk terus memperbaiki diri adalah kemenangan yang sebenar.
Syabas dan tahniah buat semua pemain. Semoga pengalaman berharga ini menjadi pembakar semangat untuk kembali lebih kuat pada kejohanan akan datang.
SK Muzaffar Syah – Beriltizam, Komited, Berintegriti. 💙❤️