(INTESABER) Pewaris Budaya Ilmu~ [The Anthem] Ilmu Iman Istiqamah {page ini wujud kerana group hanya boleh memuatkn 5k ahli je} Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam atau nama ringkasnya SBPI Sabak Bernam (INTESABER), merupakan sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang terletak di Kampung Sungai Apong, dan kira-kira lima kilometer dari pekan Parit Baru dalam daerah Sabak Bernam. Kawa
san sekolah ini seluas 40 ekar iaitu 32 ekar kawasan berpagar dan seluas lapan ekar tidak berpagar. Sekolah ini mula dibina pada bulan Julai tahun 2000 dan siap dibina pada bulan Julai 2002 dengan kos sebanyak RM 36 juta. Susun atur bangunan-bangunan di sekolah ini terbahagi kepada empat zon utama iaitu zon pentadbiran, zon akademik, zon kediaman dan zon rekreasi serta gelanggang permainan. Zon pentadbiran mengandungi satu blok bangunan tiga tingkat dan sebuah dewan besar yang bernama Dewan Ibnu Khaldun. Zon akademik terdiri daripada dua blok bangunan dua tingkat yang mengandungi 36 bilik darjah, enam unit makmal, tiga unit bengkel, sebuah kantin dan sebuah surau (Surau As-Syakirin). Zon kediaman mengandungi dua blok asrama pelajar (lelaki dan perempuan) (Villa D' Putera/ Puteri), 16 unit kuarters untuk guru dan kakitangan sekolah, empat unit rumah untuk pentadbir sekolah, satu blok dewan makan (lelaki dan perempuan) (Cafe D' Ria) dan taman permainan. Zon rekreasi dan gelanggang permainan mengandungi sebuah padang bola sepak, sebuah pavilion (Astaka Gemilang), sebuah padang hoki, gelanggang bola jaring, sepak takraw dan bola tampar serta dua buah gelanggang bola keranjang, dua buah pondok kawalan keselamatan, sebuah garaj bas, kereta dan motosikal. Kini sekolah ini juga mempunyai sebuah tapak perkhemahan yang boleh memuatkan lebih 300 peserta dalam satu masa. Sekolah ini mula beroperasi pada 8 Julai 2002 dengan pengambilan pelajar pertama iaitu pelajar tingkatan satu seramai 76 orang. Pengambilan pertama pelajar tingkatan empat pada tahun 2003 menawarkan dua aliran sahaja iaitu aliran Sains Agama (1 kelas) dan aliran Sains Tulen (2 kelas). Pada ketika itu jumlah gurunya seramai 15 orang. Puan Hajah Nahyah binti Atok adalah pengetua pertama sekolah ini. Encik Jaafar bin Rajuli sebagai Penolong Kanan, manakala Ustaz Ahmadi bin Abas menyandang jawatan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Pada peringkat awal, sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sabak Bernam. Oleh itu, pengambilan pelajar sulung sekolah ini dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS / JAPIM). Pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada anak-anak negeri Selangor. Kemudian, pengurusan sekolah ini diambil alih oleh Unit Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia. Selaras dengan perubahan pengurusan, sekolah ini bertukar nama kepada Sekolah Menengah Agama Persekutuan Sabak Bernam (SEMERBAK) dan kemudiannya bertukar p**a kepada Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam (SBPI Sabak Bernam). Pengambilan pelajar seterusnya terbuka kepada negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Pahang. Kini SBPI Sabak Bernam menawarkan empat aliran mata pelajaran. Aliran tersebut ialah aliran Sains Agama, Sains Tulen dan Sains Teknikal dan Sains Tulen + Perakaunan. Sehingga bulan Oktober 2003, sekolah ini mempunyai pelajar seramai 316 orang iaitu 115 orang pelajar tingkatan satu, 122 orang pelajar tingkatan dua dan 79 orang pelajar tingkatan empat. Latar belakang ibubapa, penjaga pelajar di sekolah ini terdiri dari pelbagai status ekonomi, sama ada bekerja sendiri, sektor swasta dan kakitangan awam. Pada 2009, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam memiliki 218 pelajar lelaki dan 225 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 443 orang. Kini SBPI SB semakin maju dan berkembang dengan pesat. Senarai Pengetua SBPI Sabak Bernam:
1. Puan Hajah Nahyah Binti Atok
2. Encik Halim Bin Mansor
3. Tuan Haji Shaharudin Bin Haji Mydin
4. Encik Abdul Malek bin Haron
5. Puan Azizah Binti Adnan (Kini)
Lagu Sekolah:
PEWARIS BUDAYA ILMU. SBPI Sabak Bernam
Pewaris budaya ilmu
Ilmu, Iman, Istiqamah
Teras juang warganya.. SBPI Sabak Bernam
Mutiara di lautan maju
Menjunjung hasrat mulia
Terbilang di dunia.. Kamilah warganya
Berikrar, bersetia
Berusaha menggapai jaya.. Kamilah warganya
Berusaha dan berbakti
Untuk ibu pertiwi.. SBPI Sabak Bernam
Mutiara di lautan maju
Menjunjung hasrat mulia
Terbilang di dunia 3x.. Lirik: Tuan Haji Rizuan Bin Atan (Guru Cemerlang BM Gred Khas JUSA C)
Ingat! Ulangtahun sekolah adalah pada 8 Julai setiap tahun. Ilmu, Iman, Istiqamah