07/01/2026
APA SEBENARNYA ANAK SAYA BELAJAR DI PRASEKOLAH?
Jawapannya, anak-anak belajar menjadi manusia, bukan sekadar belajar membaca dan mengira.
Di prasekolah, pembelajaran anak-anak dibina berasaskan enam bidang utama. Keenam-enam ini saling melengkapi, supaya perkembangan anak berlaku secara seimbang, iaitu emosi, fizikal, akal dan nilai.
(1)
Sosioemosi
Di sinilah anak-anak belajar mengenal perasaan mereka. Belajar marah dengan betul, sedih dengan cara yang sihat, gembira tanpa menyakiti orang lain. Mereka juga belajar berkawan, menunggu giliran, berkongsi mainan dan menghormati persekitaran. Ini asas pembentukan sahsiah, yang tidak boleh diajar dengan buku semata-mata.
(2)
Fizikal dan Kesejahteraan Diri
Anak-anak didedahkan dengan gaya hidup sihat, makan makanan berkhasiat, jaga kebersihan diri, faham tentang keselamatan. Termasuk juga Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), yang diajar secara berlapik, sesuai umur dan beretika, fokus kepada penjagaan diri dan sempadan peribadi.
(3)
Bahasa dan Literasi
Di prasekolah, kami tidak kejar anak “pandai membaca cepat”. Yang kami bina ialah keyakinan berkomunikasi. Anak-anak belajar bercakap, bertanya soalan, bercerita, mengenal huruf, bunyi dan mula mencintai buku. Minat membaca itu lebih penting daripada laju membaca.
(4)
Kerohanian, Nilai dan Kewarganegaraan
Bidang ini sebenarnya sangat dekat di hati cikgu-cikgu prasekolah. Ada tiga elemen,
Pendidikan Islam – Anak-anak Islam belajar asas akidah, adab, amalan harian dan nilai murni, termasuk pengenalan kepada tulisan Jawi.
Pendidikan Moral – Anak-anak bukan Islam dibimbing dengan nilai sejagat seperti kasih sayang, kejujuran, hormat dan rajin, melalui aktiviti yang menyeronokkan.
Pendidikan Kewarganegaraan – Anak-anak mula faham tentang tanggungjawab, sayang keluarga, komuniti dan negara. Patriotisme bermula dari perkara kecil.
(5)
Kreativiti dan Estetika
Melukis, menyanyi, bergerak, berlakon, semua ini bukan sekadar main-main. Di sinilah imaginasi berkembang, keyakinan diri dibina, dan emosi diluahkan secara sihat. Setiap lukisan anak itu adalah suara hati mereka.
(6)
Kognitif
Anak-anak digalakkan bertanya “kenapa”, “macam mana” dan “apa jadi kalau…”. Mereka belajar berfikir, mencuba, berbincang dan menyelesaikan masalah secara mudah dan menyeronokkan. Inilah asas pemikiran kritikal, & jelas bahawa bukan hafalan semata-mata.
Dalam kurikulum baharu ini, kami percaya bahawa prasekolah bukan tempat menghasilkan murid ‘terpaling laju segala-galanya’, tetapi manusia kecil yang seimbang, gembira dan bersedia untuk hidup.
Insya-Allah, inilah semangat kurikulum baharu prasekolah kita.
Tenanglah ibu ayah. Anak-anak sedang dibentuk dengan penuh hikmah.