13/08/2026
KOLOKIUM KAJIAN TINDAKAN KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL, PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN GURU SERTA INOVASI PERINGKAT NEGERI SEMBILAN
12.08.2026 | Rabu
UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin telah menganjurkan Kolokium Kajian Tindakan Kepimpinan Instruksional, Pengajaran dan Pembelajaran Guru serta Inovasi Peringkat Negeri Sembilan sebagai satu wadah strategik untuk membudayakan amalan penyelidikan dalam kalangan pemimpin pendidikan dan guru. Program ini telah disempurnakan oleh Tuan Alias bin Abdul Samad, Pegawai Pendidikan Daerah Tampin, sebagai usaha memperkukuh budaya penyelidikan yang berasaskan refleksi, evidens dan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tugas serta amalan profesional di sekolah.
Pelaksanaan kolokium ini memberikan penekanan kepada penglibatan pegawai PPD, pengetua, guru besar, guru penolong kanan, ketua bidang, pemimpin pertengahan dan guru-guru untuk mengaplikasikan kajian tindakan sebagai instrumen strategik dalam mengenal pasti isu, menganalisis punca, merancang intervensi, menilai keberkesanan tindakan serta melaksanakan penambahbaikan secara sistematik. Pendekatan ini diyakini dapat menyumbang kepada peningkatan kompetensi pendidik, kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP), kemenjadian murid serta prestasi sekolah secara berterusan.
Inisiatif ini adalah selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026β2035, khususnya Teras Strategik 3 (TS3): Mentransformasikan Pendidik Agar Berkeupayaan Tinggi, melalui Strategi 2 (S2): Memperkasakan kompetensi pendidik melalui pemberdayaan pembangunan profesionalisme berterusan secara berstruktur dan bermutu. Kajian tindakan dilihat sebagai salah satu pendekatan pembangunan profesional yang dapat memperkasa warga pendidikan untuk membuat keputusan berasaskan data dan evidens serta menghasilkan tindakan penambahbaikan yang lebih bersasar dan berimpak.
Dalam konteks kepimpinan sekolah, penerapan budaya penyelidikan dalam kalangan pemimpin atasan dan pemimpin pertengahan dapat memperkukuh proses perancangan, pemantauan, penilaian dan penambahbaikan pengurusan serta pengoperasian sekolah. Pendekatan ini membolehkan pemimpin membuat keputusan secara lebih reflektif, kritis, inovatif dan berasaskan evidens bagi memastikan setiap intervensi yang dilaksanakan memberikan impak yang jelas terhadap keberkesanan pengurusan sekolah dan kualiti pendidikan.
Bagi guru p**a, kajian tindakan dapat menjadi wahana untuk melaksanakan refleksi kendiri secara sistematik, mengenal pasti isu dalam PdP, membina tindakan yang bersifat kritis serta mengembangkan amalan inkuiri dalam bilik darjah. Pendekatan tersebut membolehkan guru menguji strategi dan intervensi yang bersesuaian berdasarkan keperluan murid, seterusnya meningkatkan kualiti PdP dan keberkesanan pembelajaran. Prinsip yang sama turut dapat diterapkan dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum supaya penglibatan murid lebih bermakna, menarik dan berkesan.
Kolokium ini turut menampilkan perkongsian ilmu bertajuk βArah Tuju Kajian Tindakan dan Inovasi Menjelang Era Pendidikan Masa Depanβ yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Masitah binti Ahmad, Penolong Rektor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau. Perkongsian tersebut memberikan perspektif dan pandangan strategik berkaitan hala tuju kajian tindakan serta inovasi dalam mendepani perubahan dan tuntutan pendidikan masa hadapan.
Selain itu, perkongsian berkaitan TRPN9 turut disampaikan oleh Puan Nan Ayu Norhafidzah binti Megat Laksana, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, PPD Tampin, sebagai usaha memperkukuh kefahaman warga pendidikan terhadap aspirasi dan hala tuju pendidikan di peringkat negeri serta hubung kaitnya dengan pelaksanaan tindakan penambahbaikan di peringkat daerah dan sekolah.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan kolokium ini mencerminkan komitmen PPD Tampin dalam memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi, refleksi dan penambahbaikan berterusan sebagai sebahagian daripada amalan profesional warga pendidikan. Diharapkan budaya ini dapat diteruskan secara konsisten di semua peringkat agar setiap tindakan yang dilaksanakan berasaskan keperluan sebenar, disokong oleh evidens dan memberikan impak yang signifikan terhadap kualiti pendidikan, kemenjadian murid serta peningkatan prestasi sekolah.
PPD Tampin Unggul Memacu Transformasi
Tampin LEAD