25/02/2026
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, pada Sabtu, 21 Februari, bersamaan 3 Ramadan, pihak kami telah selesai menyalurkan sumbangan iftar berbuka puasa kepada anak-anak di Pondok Baitul Al-Quran, sebuah pondok pengajian Al-Quran yang diuruskan secara sukarelawan oleh Pak Teh. Pondok ini bukan maahad tahfiz berdaftar, tetapi berfungsi sebagai tempat pengajian Al-Quran untuk anak-anak ngaji dan ibu-ibu ngaji, serta menjadi musolah bagi solat berjemaah dan aktiviti keagamaan. Kebanyakan pelajar terdiri daripada golongan asnaf, termasuk anak-anak Sabah, warga Sulu dan Acheh, serta anak-anak tempatan yang asnaf dan yatim. Pengajian dijalankan secara percuma tanpa yuran, dan operasi pondok ini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai dan NGO yang prihatin.
Sumbangan ini bertujuan menyediakan juadah berbuka puasa serta menyantuni para huffaz dalam menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan yang mulia. Bagi pihak kami, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang menjayakan program ini. Semoga sumbangan ini diberkati Allah, menjadi amal jariah, dan memberi manfaat kepada anak-anak tahfiz.
Bagi yang berminat untuk menyertai misi kebaikan ini atau membuat sumbangan, pintu sumbangan masih dibuka sepanjang bulan Ramadan. Sumbangan boleh disalurkan untuk menyokong program iftar, kelas mengaji percuma, dan keperluan harian anak-anak. Segala sumbangan akan diterima dengan penuh penghargaan dan disalurkan terus kepada mereka yang memerlukan. Semoga segala kebaikan dan sumbangan ini dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang berlipat ganda serta diberkati rezekinya. Aamiin ya Robbal ‘Alamin.