23/11/2025
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيْمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، أَمَّا بَعْدُ.
Hari ini min akan berkongsikan beberapa perkara sebelum kembali ke pangkal jalan perjuangan.
Hari ini adalah hari terakhir admin berada di Tanah Air tercinta, Sarawak. Ada berbaki 26 Jam lagi sebelum min balik ke kolej. Pertama sekali, min ingin memohon maaf jika ada kesilapan ataupun dosa sama ada di hadapan atau di belakang. Jika ada aktiviti-aktiviti masjid ataupun surau yang belum dikongsi di sini sewaktu saya berada di Sri Aman, min ingin memohon maaf kerana min seorang sahaja yang selalu mengemas kini keenam-enam masjid/surau iaitu:
1. Masjid Bandar Sri Aman
2. Masjid Lama Kampung Tengah
3. Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu
4. Masjid Al-Amin, Taman Sri Jaya
5. Surau Kebahagiaan Kampung Hilir, Kampung Hilir
6. Surau Darul Hasanah, Taman Harmoni
Ada banyak lagi masjid/surau di kawasan Sri Aman yang masih belum sempat min kemas kini. Sebenarnya, misi dan harapan min ialah agar seluruh kawasan di Sri Aman mempunyai kemas kini tentang aktiviti-aktiviti yang berada di dalam masjid.
Terdapat satu masjid dan satu surau sahaja di Bandar Simanggang yang saya belum pernah kemas kini, iaitu Masjid Darul As-Syakirin, Kampung Muhibbah, dan Surau An-Nur di Kampung RPR. Walaupun surau itu pernah sekali dikemas kini, namun min tidak terlalu kerap berkongsi tentang keadaan atau aktiviti-aktiviti yang berada di dalam surau tersebut.
Mungkin selepas ini, jika ada peluang, Insya-Allah, min akan update di area Debak, Lubuk Antu ataupun Betong. Masalah min hanya beberapa sahaja, iaitu min tidak dapat mengemas kini semua kerana min masih dalam pelajaran dan min tidak mampu mengemas kini semua aktiviti-aktiviti masjid/surau di bahagian Sri Aman secara berseorangan.
Tujuan min berkongsi semua aktiviti-aktiviti masjid/surau di setiap daerah di Sri Aman ialah, pertama sekali, untuk berdakwah hanya kerana Allah SWT. Ini adalah salah satu cara saya berdakwah kepada semua warga Sri Aman secara dalam talian. Jalan dakwah dalam talian ini dapat membantu mengajak masyarakat di sini menghadiri majlis ilmu. Tidak seperti dulu yang menggunakan poster di setiap tempat ataupun mungkin menggunakan surat jemputan ke majlis ilmu di setiap rumah. Kini hanya menggunakan teknologi supaya mudah untuk semua masyarakat melihat kepelbagaian majlis ilmu di setiap masjid dan surau ini.
Kedua ialah kerana min ingin berkongsi betapa banyaknya majlis-majlis ilmu yang masih hidup di daerah Sri Aman ini. Majlis-majlis ilmu di Sri Aman ini masih banyak dilaksanakan namun semakin hari semakin kurang sambutannya dalam kalangan masyarakat kita, khususnya dalam kalangan orang muda pada generasi kini. Dengan majlis ilmu ini, ia seperti ubat dalam hati kita untuk memperbaiki diri serta mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul-Nya. Sepatutnya orang mudalah yang harus kerap ke masjid supaya mereka dapat mengimarahkan surau-surau ataupun masjid-masjid di kawasan Sri Aman, dan seterusnya mendekatkan hati kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Insya-Allah, min akan kembali jika ada cuti pertengahan semester ataupun cuti akhir semester selepas ini, jika ada urusan-urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan. Pada masa yang sama, min akan terus kongsikan jika min berada di sini.
Akhir sekali, suatu hari nanti, jika diizinkan Allah, saya ingin berkhidmat ilmu secara bersemuka di sini, terutamanya di surau ataupun masjid, selepas berakhirnya pengajian diploma di sana, untuk bantu masyarakat kita khususnya dalam kalangan muda ini untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dan juga Rasul-Nya.
Pesanan min kepada kamu semua yang sedang membaca ini ialah:
1. Jaga hubungan kamu dengan Allah. Ikutilah perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya. Sentiasa mengimarahkan surau dan masjid untuk menguatkan hubungan kita dengan Allah dan juga Rasulullah SAW. Banyak fadhilat-fadhilat yang telah pun disebut dalam kitab-kitab tentang beriktikaf/berjemaah di masjid dan surau ini. Manfaatkan sebaik mungkin.
2. Jaga hubungan baik dengan manusia. Min pesan perkara ini kerana masih ramai lagi yang masih mengumpat, mencaci, menipu, dan sebagainya ke atas saudara se-Islam yang lain. Kemungkinan, ini adalah asbab doa-doa kita yang masih lambat untuk dikabulkan. Dengan mulut inilah, nauzubillah, kemungkinan ini menyebabkan kita memasuki neraka Allah SWT. Wa iyyazubillah.
3. Menutup aurat dengan sempurna. Ini khususnya untuk wanita. Para wanita sekalian, anda semua ialah ciptaan Allah yang sempurna dan istimewa. Seorang wanita yang mahal ialah hendaklah dia menjaga aurat dengan sempurna. Dalam mazhab Syafie, wajib menutup semua anggota badan. Pakaian wanita hendaklah sopan dan tidak ketat sehingga menampakkan tubuh. Bagi lelaki p**a, lebih baik menutup semua anggota badan supaya nampak lebih sopan dan kemas apabila keluar dari rumah ataupun pergi ke Rumah Allah.
4. Pastikan makanan dan minuman diperolehi daripada sumber yang halal lagi diberkati. Selalunya, inilah sebabnya mengapa doa lambat dikabulkan oleh Allah. Bukan sekadar melihat status produk halal di pasaran sahaja, malah perlu melihat daripada sudut pencarian rezeki itu halal ataupun tidak. Jika ia daripada sumber yang haram seperti duit perjudian ataupun duit rasuah, hidupnya tidak akan berkat dan sentiasa dalam keadaan yang tidak tenang/susah.
5. Yang terakhir ialah beristiqamah dalam menuntut ilmu. Dalam kitab Tariqah Alawiyyah, ulama-ulama Ba’Alawiyyah telah pun bercerita tentang kelebihan ilmu, kerana tariqah ini antara tariqah yang sentiasa mementingkan ilmu dan akhlak di hadapan. Antaranya yang diceritakan oleh ulama ialah, ilmu ini jika dibandingkan dengan bentuk planet dan bintang yang berada di langit, bentuk ilmu ialah lebih cantik dan lebih indah daripada itu. Ilmu ini seperti cahaya, ia dapat membantu kita keluar daripada terowong kegelapan (kejahilan). Ilmu inilah yang membantu seseorang itu matang dan lebih berani apabila berhadapan dengan ujian yang Allah berikan.
Jaga diri semua, jaga solat, jaga pemikiran, kesihatan mental dan kesihatan tubuh badan yang sihat. Doakan min dalam perjalanan ilmu ini ye!
Wallahua’lam!
Fastabiqul Khairat,
Fi Aamanillah! 😇☺️📚