09/05/2026
PROGRAM LATIHAN SKILLS & CAREER - KEMAHIRAN BARBER BERSAMA JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT NEGERI SELANGOR
9 Mei 2026
Program Latihan Skills & Career - Kemahiran Barber yang dijalankan pada 9 & 10 Mei 2026 bertempat di GIATMARA Ampang Jaya merupakan program kerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.
Program ini merupakan program SCT Training On Demand Asas Gunting Rambut kepada kumpulan di bawah Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Terdiri daripada penyertaan seramai 9 orang peserta yang datang dari daerah gombak dan hulu langat.
Pada harini juga berlangsung majlis perasmian program yang disempurnakan oleh Tuan Haji Azmir bin Kassim, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Turut hadir bersama adalah Ts. Wan Mohamad Hazman bin Wan Mohd Hassan,Pengarah GIATMARA Negeri Selangor dan En.Mohd Shafie bin Mohamad, Pegawai Latihan & Kemahiran GIATMARA Negeri Selangor.
Semua tetamu juga berkesempatan dibawa meninjau kemudahan yang ditawarkan dan juga dibawa melihat Van Gunting Mobile yang berada di perkarangan GIATMARA Ampang Jaya. Pengarah JKM sangat teruja melibat keadaan dalaman van Gunting Mobile dan mencadangkan untuk dibawa sekiranya ada program-program akan datang.
Semoga kerjasama ini dapat mendekatkan lagi GIATMARA dengan masyarakat serta dapat membantu membasmi kemiskinan bandar.
08/05/2026
MAJLIS BACAAN YASIN DAN PENGHARGAAN PESERTA WORLDSKILLS MALAYSIA BELIA 2026 PERINGKAT AKHIR GIATMARA NEGERI SELANGOR
8 Mei 2026
GIATMARA Puchong menjadi lokasi pilihan untuk meraikan peserta Worldskills Malaysia Belia daripada GIATMARA Negeri Selangor yang berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan
Peserta yang layak ke peringkat akhir terdiri daripada Ummu Zamillah Binti Borhan(GIATMARA Subang-Fashion Technology), Muhammad Faiz bin Aszeri(GIATMARA Kuala Langat-Car Painting), Qaisara Batrisya Binti Yusri Emran(GIATMARA Kota Raja-3D Game Art) Bersama-sama jurulatih turut diraikan.
Pertandingan dijadual akan berlangsung pada 9-12 Mei(Bidang Car Painting di lokasi Hap Seng Body & Paint,Shah Alam), 18-22 Mei(Fashion Technology di lokasi GIATMARA Kuala Lumpur),15-18 Jun(3D Game Art-Claz'room College,Damansara)
Majlis disempurnakan oleh YBhg Ts. Wan Mohamad Hazman Bin Wan Mohd Hassan, Pengarah GIATMARA Negeri Selangor di iringi En. Said Koyanyikoya Imbichi Koyathangal,Timbalan Pengarah GIATMARA Negeri Selangor serta pengurus-pengurus GIATMARA Selangor.
Majlis dimulakan dengan bacaan yasin yang dipimpim oleh Saudara Amier Syazwan bin Alwi,Pembantu Eksekutif Logistik GIATMARA Klang diikuti dengan penyerahan jaket windbreaker sebagai penghargaan kepada peserta Dan jurulatih oleh Pengarah GIATMARA Negeri Selangor.
Semoga kejayaan mengiringi peserta Dan jurulatih sepanjang pertandingan berlangsung.
"BORN TO WIN"
04/05/2026
🎓 Jom Masuk GIATMARA!
Kami kini berada di Karnival Pendidikan MARA 2026 — platform terbaik untuk anda rancang masa depan dalam bidang kemahiran & kerjaya!
📍 Booth GIATMARA
📅 1 – 5 Mei 2026
⏰ 10.00 pagi
✨ Apa yang menanti anda?
✅ Info kursus kemahiran terkini
✅ Laluan kerjaya selepas latihan
✅ Peluang sambung pengajian & pekerjaan
✅ Kaunseling pendidikan & kemasukan
Tak pasti hala tuju lepas sekolah?
Nak skill cepat kerja?
👉 GIATMARA jawapannya.
Datang, tanya, dan mulakan langkah pertama ke arah masa depan anda!
24/04/2026
Mesyuarat Pengurusan GIATMARA Negeri Selangor Bil.2/2026 (Q1) telah berlangsung pada 21 hingga 22 April 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Cempaka, GIATMARA Negeri Selangor.
Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperkukuh perancangan strategik, penyelarasan operasi serta memperkasakan agenda pembangunan latihan kemahiran TVET di seluruh GIATMARA Negeri Selangor.
Komitmen berterusan seluruh warga pengurusan mencerminkan kesungguhan dalam memastikan GIATMARA kekal relevan, berdaya saing dan terus menjadi peneraju pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
22/04/2026
Hari ini bukan sekadar majlis perpisahan, tetapi satu penghargaan buat dua insan yang telah banyak menyumbang tenaga, idea dan komitmen sepanjang bersama GIATMARA Negeri Selangor.
Terima kasih atas segala jasa, tunjuk ajar dan kenangan indah yang tercipta bersama kami.
Selamat melangkah ke fasa baharu buat;
🌷 Puan Yasmin binti Baharuddin
🌷 Puan Asnita binti Masdar
Semoga terus cemerlang, dipermudahkan setiap urusan dan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada keluarga kami.
Jasa dikenang, kenangan kekal selamanya 🤍
17/03/2026
III 15 MAC 2026 III AHAD, Shah Alam
Burung pipit terbang berdua,
Hinggap di dahan pohon cemara,
Ramadan bulan penuh doa,
Mohon ampunan kepada-Nya.
Alhamdulillah syukur, selesai Program Semarak Kasih Ramadan 1447H@GIATMARA Iftar Komuniti Surau Baitul Mukmin, Taman Subang Murni,Shah Alam Bersama Jawatankuasa Surau Dan Ahli Kariah.
(MEMASAK BUBUR LAMBUK DAN MENU SPECIAL BERBUKA)
Program Iftar Komuniti GIATMARA Negeri Selangor merupakan inisiatif Pengurusan GIATMARA Bersama GIATMARA Negeri) Selangor yang bertujuan mengimarahkan bulan mulia, mengeratkan silaturahim, dan berkongsi rezeki dengan komuniti dan diagihkan pek (bubur) secara percuma. Penyediaan Menu Istimewa Nasi Kandar oleh Ketua Chef, Chef Farid(GIATMARA Merbok) dibantu oleh Chef Faizol(GIATMARA Klang)Chef Hadi(GIATMARA Klang),Chef Safian(GIATMARA Hulu Langat).
Program ini juga dihadiri oleh YBhg. Ts. Ahmad Hamdi Ibrahim,Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, diiringi semua Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif,Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Pengarah GIATMARA Negeri Selangor Ts. Wan Mohamad Hazman Bin Wan Mohd Hassan serta sebahagian Pengurus dan pegawai-pegawai pejabat GIATMARA Negeri Selangor.
Penyediaan Bubur Lambuk kepada lebih 400 pek juga telah diedarkan kepada penduduk setempat Dan komuniti berhampiran pada program ini. Majlis Iftar juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 300 orang Ahli Kariah Bersama-sama pihak Pengurusan GIATMARA menjadikan program yang dibuat lebih bermakna dan mencapai objektif program iaitu merapatkan GIATMARA dengan komuniti setempat .Turut merakam terima kasih kepada PMP Negeri Selangor iaitu daripada GIATMARA Hulu Langat,Kota Raja,Puchong,Kelana Jaya,Tanjong Karang,Klang serta pelatih GIATMARA Hulu Langat dan Klang
Semoga GIATMARA Selangor akan terus berusaha menjayakan program program Ramadan pada tahun akan datang.
Terima kasih Semua.
17/03/2026
III 16 MAC 2026 III ISNIN, GIATMARA Bangi
MAJLIS TADARUS AL-QURAN GIATMARA NEGERI SELANGOR
Mentari pagi bersinar cerah,
Hati yang luka diselimut bahagia,
Ramadhan datang membawa berkah,
Semoga kita semakin bertaqwa....
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, atas limpah kurnianya selesai program terakhir GIATMARA Negeri Selangor dalam menjayakan program SEMARAK KASIH RAMADAN@GIATMARA 1447H dengan Majlis Tadarus Al Quran yang telah berlangsung di GIATMARA Bangi.
Tadarus Al-Quran ialah aktiviti membaca al-Quran secara berkumpulan, di mana seorang membaca dan yang lain mendengar, kemudian bergilir-gilir untuk membetulkan bacaan. Amalan ini, terutamanya pada bulan Ramadan, mencontohi Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril untuk meningkatkan keimanan, memperbaiki tajwid, serta memupuk ukhuwah Islamiah.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah GIATMARA Negeri Selangor Ts. Wan Mohamad Hazman Bin Wan Mohd Hassan serta Timbalan Puan Yasmin Binti Baharuddin.
17/03/2026
III 12 MAC 2026 III KHAMIS, Kuala Selangor
Burung pipit terbang berdua,
Hinggap di dahan pohon cemara,
Ramadan bulan penuh doa,
Mohon ampunan kepada-Nya.
Alhamdulillah syukur, selesai Program Semarak Kasih Ramadan 1447H@GIATMARA Kerjasama Bersama JPKKP & Komuniti Kampung Api-Api, Kuala Selangor.
(MEMASAK BUBUR LAMBUK DAN CSR MASJID JAMIUL HUDA)
Program bubur lambuk Ramadan merupakan inisiatif gotong-royong tahunan yang bertujuan mengimarahkan bulan mulia, mengeratkan silaturahim, dan berkongsi rezeki dengan komuniti dan diagihkan pek (bubur) secara percuma. Tidak lupa juga semangat gotong royong dalam CSR Masjid Jamiul Huda.
Program ini telah disempurnakan bersama Encik Shahrul Nizam Jamaludin selaku Pengerusi JPKKP Komuniti Desa Madani dan Pengarah GIATMARA Negeri Selangor Ts. Wan Mohamad Hazman Bin Wan Mohd Hassan. Turut merakam terima kasih kepada semua PMP Negeri Selangor serta pelatih GIATMARA Tanjung Karang dan pelatih GIATMARA Kuala Selangor.
Semoga GIATMARA Selangor akan terus berusaha menjayakan program program Ramadan pada tahun akan datang.
Terima kasih Semua.
27/02/2026
Program Semarak Kasih Ramadhan @ GIATMARA – Singgah Sahur dan Sumbangan Bakul Makanan 🌙✨
Alhamdulillah, dengan izin-Nya telah berlangsungnya Program Semarak Kasih Ramadhan @ GIATMARA – Singgah Sahur dan Sumbangan Bakul Makanan GIATMARA Negeri Selangor yang penuh makna dan ukhuwah pda 27 Februari 2026.
Perjalanan rombongan GIATMARA Negeri Selangor diketuai oleh Ts. Wan Mohamad Hazman bin Wan Mohd Hassan, Pengarah GIATMARA Negeri Selangor bermula di GIATMARA Kuala Langat, kemudian meneruskan ziarah ke GIATMARA Petaling Jaya Utara dan seterusnya ke destinasi terakhir di GIATMARA Puchong.
Di setiap transit yang dikunjungi, Tuan Pengarah berkesempatan untuk menyantuni para pelatih yang berjauhan daripada keluarga demi menuntut ilmu dan membina masa depan dalam bidang kemahiran. Perkongsian ringkas, sapaan mesra dan gelak tawa sederhana menjadi pengubat rindu serta penyuntik semangat buat mereka untuk terus cekal menjalani kehidupan sebagai pelatih.
Turut disampaikan sumbangan makanan kepada para pelatih yang menetap di transit sebagai tanda ingatan dan kasih sayang. Walaupun tidak seberapa, semoga ia memberi kegembiraan dan meringankan sedikit beban sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.
Program diakhiri dengan sahur bersama di GIATMARA Puchong. Suasana sahur yang sederhana namun penuh keakraban jelas memperlihatkan nilai kebersamaan, persaudaraan dan semangat kekeluargaan dalam komuniti GIATMARA.
Semoga usaha kecil ini menjadi asbab keberkatan, mengeratkan silaturahim serta menyemai rasa peduli antara kita semua. Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ruang untuk kita menyantuni, berkongsi dan memperkukuh ukhuwah.
Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga Allah membalas setiap kebaikan dengan ganjaran yang berlipat ganda. 🤲🏻🌙