24/08/2026
Berbesar hati menerima kunjungan tiga anak muda Selangor yang terpilih sebagai kumpulan perintis Biasiswa Pembangunan Kemahiran Nuklear Negeri Selangor 2026.
Tahniah kepada Muhammad Amani Mazlan, Aiman Shakirah Ahmad Jaffar dan Hafidz Syahmi Faznee Aniff yang bakal melanjutkan pengajian Sarjana Kejuruteraan Nuklear di Harbin Engineering University (HEU), China, bermula September 2026 hingga Julai 2029, dengan tajaan RM15,000 setiap seorang.
Selain pengajian, mereka turut berpeluang menjalani latihan industri bersama China General Nuclear Power Group (CGN).
Kerajaan Negeri menyediakan tiket penerbangan, baucar buku, HPIPT, komputer riba serta elaun perpindahan, manakala Kerajaan China menanggung yuran pengajian, insurans perubatan dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Program kendalian STDC di bawah inisiatif IKTISASS ini merupakan hasil kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan China bersama Tsinghua University, HEU serta CGN.
Selaras dengan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026 - 2030, program ini akan diperluas kepada 22 lagi pelajar pada 2027 dan 2028, menjadikan keseluruhan sasaran seramai 25 bakat Selangor dalam bidang tenaga nuklear.
Saya mendoakan agar mereka memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya, menimba ilmu dan pengalaman seluas mungkin sebelum kembali membawa kepakaran untuk berbakti kepada negeri dan negara.
Semoga kumpulan perintis ini menjadi sebahagian daripada generasi yang akan membantu Selangor meneroka masa hadapan tenaga yang lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.
Sumber: Amirudin Shari