05/11/2024
𝗙𝗜𝗤𝗛 : 𝗕𝗘𝗡𝗗𝗔-𝗕𝗘𝗡𝗗𝗔 𝗡𝗔𝗝𝗜𝗦
Benda-benda yang najis banyak, dan yang utamanya tujuh perkara:
𝟯.𝟭 𝗔𝗿𝗮𝗸 𝗱𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗺𝘂𝗮 𝗰𝗲𝗰𝗮𝗶𝗿 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗺𝗮𝗯𝘂𝗸𝗸𝗮𝗻
Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t.,
..إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ...
(Surah al-Ma’idah ayat 90)
Yang bermaksud,…bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semata-mata) kotor (keji)…
Maksud kotor ialah najis.
Dan sabda Rasulullah s.a.w.,
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ خَمْرٍ حَرَامٌ
- Riwayat Muslim -
Yang bermaksud, daripada Ibnu ‘Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.”
𝟯.𝟮 𝗔𝗻𝗷𝗶𝗻𝗴 𝗱𝗮𝗻 𝗯𝗮𝗯𝗶
Hal ini adalah berdasarkan hadith,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ وَفِي رِوَايَةٍ: إِحدَاهُنَّ بِالبَطْحَاءِ
- Riwayat Muslim, al-Daruqurni -
Yang bermaksud, sabda Rasulullah s.a.w., “Untuk membersihkan bejana kamu apabila dijilat anjing hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.” Dalam riwayat yang lain, “Satu daripada basuhan tersebut adalah air yang bercampur dengan tanah.”
𝟯.𝟯 𝗕𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗶
Bangkai adalah semua binatang tidak halal yang mati, dan binatang halal yang mati tanpa disembelih dengan cara yang ditetapkan oleh syara‘.
Firman Allah s.w.t.,
حُرِّمَتۡ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةُ...
(Surah al-Ma’idah, ayat 3)
Yang bermaksud, diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih)...
Pengharamannya adalah disebabkan ia najis. Termasuk juga dalam hukum bangkai adalah semua yang disembelih untuk berhala, dan yang disebut nama selain daripada nama Allah sw.t..
Firman Allah sw.t.,
..وَمَآ أُهِلَّ لِغَيۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦ...
(Surah al-Ma’idah ayat 3)
Yang bermaksud, …dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah,…
3.3.1 Jenis-jenis bangkai yang dikecualikan sebagai najis
Terdapat tiga jenis bangkai yang dikecualikan sebagai najis.
3 .3.1.1 𝑀𝑎𝑦𝑎𝑡 𝑚𝑎𝑛𝑢𝑠𝑖𝑎
Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t.,
وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ...
(Surah al-Isra’ ayat 70)
Yang bermaksud, dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam…
Maksud kemuliaan manusia ialah mereka suci sama ada hidup atau mati berdasarkan hadith,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سُبْحَانَ اللَّهِ إِنَّ الْمُسْلِمَ لاَيَنْجُسُ
- Riwayat al-Bukhari -
Yang bermaksud, sabda Rasulullah sw.t., “Maha Suci Allah, sesungguhnya orang Islam tidak najis.”
Dan hadith seterusnya,
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: الْمُسْلِمُ لاَ يَنْجُسُ حَيًّا وَلاَ مَيِّتًا
- Riwayat al-Bukhari -
Yang bermaksud, Ibnu ‘Abbas r.a. berkata, “Orang Islam tidak najis sama ada hidup atau mati.”
3.3.1.2 𝐼𝑘𝑎𝑛
3.3.1.3 𝐵𝑒𝑙𝑎𝑙𝑎𝑛𝑔
Kedua-dua ini berdasarkan hadith,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أُحِلَّتْ لَكُم مَيْتَـتَانِ وَدَمَانِ، فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ؛ فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ، وَأَمَّا الدَّمَانِ؛ فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ
- Riwayat Ibnu Majah -
Yang bermaksud, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dihalalkan kepada kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut ialah ikan dan belalang manakala dua jenis darah p**a ialah hati dan limpa.”
𝟯.𝟰 𝗗𝗮𝗿𝗮𝗵 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗰𝗮𝗶𝗿 𝘁𝗲𝗿𝗺𝗮𝘀𝘂𝗸 𝗻𝗮𝗻𝗮𝗵
Firman Allah s.w.t.,
..أَوۡ دَمٗا مَّسۡفُوحًا أَوۡ لَحۡمَ خِنزِيرٖ فَإِنَّهُۥ رِجۡسٌ...
(Surah al-An‘am ayat 145)
Yang bermaksud, …atau darah yang mengalir, atau daging babi-kerana sesungguhnya ia adalah kotor...
𝟯.𝟱 𝗞𝗲𝗻𝗰𝗶𝗻𝗴 𝗱𝗮𝗻 𝘁𝗮𝗵𝗶 𝗺𝗮𝗻𝘂𝘀𝗶𝗮 𝗱𝗮𝗻 𝗯𝗶𝗻𝗮𝘁𝗮𝗻𝗴
Hal ini berdasarkan hadith,
أَنَّ أَعْرَابِيًّا بَالَ فِي المَسْجِدِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صُبُّوا عَلَيهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ
- Riwayat al-Bukhari dan Muslim -
Yang bermaksud, seorang badwi terkencing di dalam masjid lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jiruskan ke atas kencing itu setimba air.”
Perintah supaya menjirus air ke atas kencing menunjukkan bahawa kencing adalah najis.
𝟯.𝟲 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝗯𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝘁𝗲𝗿𝗽𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗿𝗶𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗯𝗶𝗻𝗮𝘁𝗮𝗻𝗴 𝘀𝗲𝗺𝗮𝘀𝗮 𝗵𝗶𝗱𝘂𝗽 𝗮𝗱𝗮𝗹𝗮𝗵 𝗻𝗮𝗷𝗶𝘀
Hal ini berdasarkan hadith,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا قُطِعَ مِنْ بَهِيمَةٍ فَهُوَ مَيتَةٌ
- Riwayat al-Hakim -
Yang bermaksud, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apa-apa yang dipotong daripada binatang adalah bangkai.”
Rambut dan bulu binatang yang dagingnya halal dimakan dikecualikan daripada hukum tersebut. Ia adalah suci.
Hal ini berdasarkan firman Allah sw.t.,
..وَمِنۡ أَصۡوَافِهَا وَأَوۡبَارِهَا وَأَشۡعَارِهَآ أَثَٰثٗا وَمَتَٰعًا إِلَىٰ حِينٖ 80
(Surah al-Nahl ayat 80)
Yang bermaksud, …dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga suatu masa.
𝟯.𝟳 𝗦𝘂𝘀𝘂 𝗯𝗶𝗻𝗮𝘁𝗮𝗻𝗴 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗮𝗴𝗶𝗻𝗴𝗻𝘆𝗮 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗵𝗮𝗹𝗮𝗹 𝗱𝗶𝗺𝗮𝗸𝗮𝗻
Susu binatang yang dagingnya tidak halal dimakan seperti keldai dan seumpamanya adalah najis. Ini adalah kerana hukum susu adalah sama dengan dagingnya dan dagingnya adalah najis.
𝗥𝘂𝗷𝘂𝗸𝗮𝗻:
Manhaj Fiqh al-Syafi'i (Jilid 1)
-----------------------
𝗝𝘂𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗕𝘂𝗸𝘂 𝗔𝘁𝗮𝘀 𝗧𝗮𝗹𝗶𝗮𝗻 (𝗣𝘂𝘀𝘁𝗮𝗸𝗮 𝗛𝗶𝗸𝗺𝗮𝗵):
https://bit.ly/4efjedZ
-----------------------
https://t.me/JabatanMuftiNegeriSembilan/637
-----------------------