13/10/2025
- Muka Telefon Bimbit oleh Amna Huwaina
***
Rania mengintai dari tingkap tadika. Kelihatan anaknya, Aira tersenyum lebar dan sudah mula berinteraksi dengan rakan-rakannya.
“Puan Rania,” sapa Cikgu Lutfiya.
“Cikgu, anak saya dah ada perubahan!” Hati Rania terasa lega.
Cikgu Lutfiya mengangguk sambil menarik segaris senyuman di bibir.
“Ini lukisan yang dilukis Aira pagi tadi.” Cikgu Lutfiya menyerahkan lukisan itu kepada Rania.
“Cikgu, kenapa semua dalam ni berwajah telefon bimbit kecuali gambar budak ni dan kucingnya?” Hairan Rania.
“Kelmarin, saya minta anak-anak ni lukis gambar keluarga mereka....” Cikgu Lutfiya berhenti sejenak. “Inilah yang dilukis Aira. Bila saya tanya, kenapa semua dalam gambar ni berwajah telefon bimbit, puan nak tahu apa jawapan Aira?”
Rania mengangguk, menanti penuh debaran.
“Aira jawab, bila dia nak sembang dengan keluarganya, semua lebih s**a kepada telefon bimbit. Semua mesti tersenyum dan ketawa dengan telefon bimbit. Banyak kali Aira dimarahi kerana mengganggu waktu keluarga dengan telefon bimbit. Tak ada sesiapa s**a dengar Aira bercakap. Sebab tu Aira diam dan cuma bercakap dengan Oyen.” Cikgu Lutfiya menahan sebak ketika menyebut semula apa yang dikatakan Aira kelmarin.
“Gambar buku yang dipegang Aira ialah buku yang selalu dia gunakan untuk melukis dan meluahkan rasa hatinya. Gambar buku di atas meja itu p**a ialah album keluarga. Kata Aira, bila rindu, Aira akan buka dan lihat gambar mama, papa, kakak dan abangnya dalam album itu.”
Jiwa Rania terasa sesak mendengar luahan hati Aira daripada mulut Cikgu Lutfiya.
“Salah saya selama ini, cikgu. Saya dan suami tak sedar kesilapan kami. Memang kami bekerja menggunakan telefon bimbit, tapi bila di rumah pun kami tak beri perhatian kepada Aira. Salah kami juga biarkan anak-anak yang masih bersekolah bebas menggunakan telefon bimbit tanpa kawalan. Patutlah Aira diam, langsung tak bercakap di rumah. Ya Allah, ampunkanlah aku!” Air mata Rania menitis laju, selebat hujan yang sudah mula turun.
“Cikgu, Aira buat kad untuk cikgu.”
Aira datang laju dari arah belakang Cikgu Lutfiya tanpa menyedari keberadaan ibunya di situ. Dia terus memeluk kaki Cikgu Lutfiya.
Rania melihat ke arah kad itu. Di muka hadapan kad itu tertulis, “Aira sayang cikgu!”