19/03/2024
𝟑𝟎 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐒 𝐃𝐈 𝐁𝐔𝐋𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐌𝐀𝐃𝐇𝐀𝐍
𝟗 𝐑𝐀𝐌𝐀𝐃𝐇𝐀𝐍 / 𝟐𝟎 𝐌𝐀𝐂
𝙋𝙚𝙧𝙠𝙤𝙣𝙜𝙨𝙞𝙖𝙣 𝙃𝙖𝙙𝙞𝙩𝙝: 𝙋𝙞𝙣𝙩𝙪 𝘿𝙞 𝘿𝙖𝙡𝙖𝙢 𝙎𝙮𝙪𝙧𝙜𝙖 𝘽𝙪𝙖𝙩 𝙈𝙚𝙧𝙚𝙠𝙖 𝙔𝙖𝙣𝙜 𝙎𝙚𝙡𝙖𝙡𝙪 𝘽𝙚𝙧𝙥𝙪𝙖𝙨𝙖.
عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ”إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ: الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَد“.
Daripada Sahl r.a, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya di syurga terdapat sebuah pintu yang dinamakan sebagai ar-Rayyān. Hanya orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat. Tidak dibenarkan sesiapa pun memasukinya selain mereka. Lalu dikatakan (kepada penduduk Mahsyar), “Dimana orang-orang yang berpuasa?” Mereka pun bangkit, tidak ada seorang pun yang masuk kecuali dari mereka. Ketika mereka telah masuk, (pintunya) ditutup dan tidak seorang pun yang akan memasukinya lagi”.
[HR. al-Bukhārī: 1896 dan Muslim: 1152]
Ulasan:
1. al-Hāfiz ibn Hajar ketika mensyarahkan kalimah ar-Rayyān di dalam hadith ini, beliau menyebutkan,
وقعت المناسبة فيه بين لفظه ومعناه لأنه مشتق من الري وهو مناسب لحال الصائمين وسيأتي أن من دخله لم يظمأ.
“Terdapat hubung kait di antara lafadh (ar-Rayyān) dan maknanya. Hal ini kerana (kalimah ar-Rayyān) adalah terbitan daripada kalimah ar-Ray (orang yang tidak merasa dahaga), ia bersesuaian dengan keadaan mereka yang berpuasa. Mereka kelak akan memasuki pintu tersebut dan tidak akan pernah berasa haus lagi” (Fath ul-Bārī: 4/134).
2. Manakala, Shaykh ‘Iez ud-Dīn bin ‘Abd as-Salām menyebutkan:
أما تخصیص دخولهم الجنة بباب الريان فإنهم ميزوا بذلك الباب لتميز عبادتهم وشرفها.
“Adapun dikhususkan kepada mereka memasuki syurga dari pintu ar-Rayyān kerana keistimewaan ibadat mereka dan kemuliaannya” (Fawā`id as-Saum).
3. Selain itu, Mulla ‘Alī al-Qārī mengatakan,
«الريان» إما لأنه بنفسه ريان لكثرة الأنهار الجارية إليه، والأزهار والثمار الطريدة لديه، أو لأن من وصل إليه يزول عنه عطش يوم القيامة.
“Maksud ar-Rayyān itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir, bunga dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat” (Mirqāt ul-Mafātih: Juz. 4. Hal. 387).
Kesimpulannya, pintu ar-Rayyān mestilah menjadi penguat semangat untuk terus ber‘ibadat pada Bulan Ramadhān dan sesudahnya, serta menambah rasa cinta untuk berpuasa.
Kredit :
Hakaza Sunnah