22/11/2020
GURU QURAN GARANG?..
Saya dah biasa di persepsi begitu oleh sebilangan besar pelajar. Ramai yang takut dan yang takut takut.. Al maklum, pantang salah.. pasti kena tegur dan bukan takat tegur, tapi kena sebut sampai jadi, bahkan kalau boleh sampai puas hati!.
Rasanya, bukan saya saja begitu.. tetapi mana mana guru Quran lah, bahkan ada yang lebih cengeng dan menyinga bila berkali kali ditegur, masih tak berubah ubah.
Bukan sengaja nak jadi begitu wahai anak anak pelajar dan yang masih belajar. Ini kalam ALLAH, bukan kalam manusia. Ini Kitab suci.. bukan Kitab sembarangan. Ini bahasa Arab.. bukan bahasa daerah atau slanga yang boleh bermudah mudah.
Kalau tak dipelajari bersungguh sungguh, tak berkeringat dan tak tegang urat leher kerananya.. kau takkan dapat menguasainya. Kalau dalam bab lain, boleh saja engkau bersungguh sungguh, bersusah payah.. Mengapa tidak al Quran?.
Al Quran bukan main main. Serius.. kalau salah sebut,.. bertukar makna. Nanti al Quran sendiri melaknat engkau dan aku yang menjadi guru ni bersekali.. sebab membiarkan kalimah kalimahnya disebut sesedap rasa.
Tak boleh berlebih kurang dengan peguam bela akhirat ini. Takkan lah bertahun tahun, masih standard sama. Apa lagi yang bersekolah agama.. Nanti nak mengajar generasi akan datang. Kalau mereka yang bersekolah agama pun hancur.. masyarakat lebih lebihlah hancur dan hancing jadi nya.
Kerana beratnya amanah al Quran inilah.. Guru Quran tidak akan bermanis muka, tidak berbasa basi, tidak berkompromi bila menegur. Kalau tak sabar,.. Selamat tinggallah kelas, bye byelah guru Quran.
Tapi, ingatlah satu perkara.. bahawa guru guru Quran kamu itu bukan dilahirkan semula jadi pandai Quran, tetapi mereka juga melalui proses belajar dan mengajar puluhan tahun tanpa henti. Entah sebanyak mana air mata mereka tumpah di depan guru.. hanya ALLAH yang tahu.
Entah berapa kali belakang mereka berbirat bila rotan panjang menyentuhnya.. entah berapa kali kulit mereka pedih dek sebatan rotan tuan guru.. hanya Allah yang tahu. Entah berapa jam mengadap al Quran dan muka tok guru setiap sesi.. ada pernah kita tanya?. Datang datang.. terus nak pandai, terus tak boleh tegur.. no way man!.
Nasihat dan saranan saya.. Sebelum berfikir nak mufaraqah atau sebelum nak sertai kelas.. Ada baiknya cari masa untuk duduk berbual dengan guru Quran itu dan tanyakan pengalaman mereka dihampuk guru guru mereka yang mulia itu. Insyaallah.. itu akan menjadi tonik yang memperkasa jiwa untuk terus istiqomah bersama Kitabullah.
Jangan tuduh, jangan marah guru.. tapi tuduhlah diri dan hati tisu kamu itu yang hendak mendapatkan ilmu ALLAH dengan jalan bermudah mudah. Orang yang hatinya kena sentiasa nak dipujuk, nak dibelai, nak dijaga, nak diusap usap.. tidak akan ke mana mana, takkan pandai baca Quran sampai bila bila. Percayalah!.
- [AF Ustaz Abdul Karim Bin Sidek] -