07/01/2026
Mungkin ada ibu bapa yang tertanya-tanya apakah yang akan dipelajari oleh anak-anak menerusi pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah.
Baik, saya kongsikan.
Pembelajaran anak-anak prasekolah akan tertumpu kepada enam bidang utama iaitu sosioemosi; fizikal dan kesejahteraan diri; bahasa dan literasi; kerohanian, nilai dan kewarganegaraan; kreativiti dan estetika; serta kognitif.
📌 SOSIOEMOSI
Penekanan kepada proses untuk mengembangkan keupayaan anak-anak bagi mengenal dan mengurus emosi sendiri serta keupayaan membina hubungan diri dengan orang lain dan persekitaran.
📌 FIZIKAL DAN KESEJAHTERAAN DIRI
Penekanan diberi kepada kesedaran mengenai kesihatan merangkumi pemakanan sihat, penjagaan kebersihan dan keselamatan. Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) juga diberi perhatian.
📌 BAHASA DAN LITERASI
Tumpuan diberi kepada penguasaan kemahiran komunikasi anak-anak. Mereka akan belajar asas literasi dan bahasa serta dipupuk minat untuk membaca.
📌 KEROHANIAN, NILAI DAN KEWARGANEGARAAN
Bidang pembelajaran ini terbahagi kepada tiga sub-bidang iaitu Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Kewarganegaraan.
Dalam sub-bidang 'Pendidikan Islam', anak-anak beragama Islam akan dididik mengenai pengetahuan asas, sikap dan nilai serta amalan ajaran agama Islam dalam kehidupan. Mereka turut akan mempelajari asas tulisan Jawi.
Sub-bidang 'Pendidikan Moral' p**a memberi tumpuan kepada asas pembentukan nilai seperti kasih sayang, kejujuran, hormat dan kerajinan melalui pendekatan yang menyeronokkan. Ia bertujuan mengembangkan kesedaran moral dan tingkah laku positif dalam kehidupan seharian.
Manakala sub-bidang 'Pendidikan Kewarganegaraan' memupuk kesedaran anak-anak terhadap hak dan tanggungjawab sebagai warganegara yang memiliki semangat patriotisme serta dapat menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan komuniti.
📌 KREATIVITI DAN ESTETIKA
Anak-anak diberi peluang untuk meneroka dan menghargai keindahan persekitaran dan mengembangkan daya imaginasi serta kreativiti mereka. Ini dilakukan menerusi seni visual, muzik, gerakan dan drama.
📌 KOGNITIF
Bidang pembelajaran ini memberi pendedahan kepada anak-anak untuk mengembangkan sikap ingin tahu dan minat untuk meneroka dunia di sekeliling mereka. Anak-anak digalakkan untuk berfikir secara sistematik, berinteraksi dan berkongsi maklumat untuk menyelesaikan masalah.