30/11/2023
DISEDIAKAN OLEH : SALINA BINTI MD DOM
NO. MATRIK : 295912
TAJUK : KESAN KES RASUAH DALAM KALANGAN PENJAWAT AWAM
Rasuah merupakan isu yang hangat diperkatakan oleh masyarakat pada masa kini kerana implikasinya memberikan kesan negatif terhadap individu, masyarakat dan negara. Justeru itu, saya ingin membincangkan tentang kesan kes rasuah dari sudut pandangan saya sebagai seorang pelajar dan juga sebagai pekerja.
Bagi kesan yang pertama iaitu sebagai individu, kes rasuah boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan. Tambahan lagi, sekiranya disabitkan kesalah, individu tersebut akan dikenakan denda dan hukuman penjara maksimum 20 tahun. Malahan ia memberikan kesan kepada kehancuran keharmonian rumah tangga. Ini kerana, topik ini hangat diperkatakan oleh khalayak ramai dan keluarga akan dipandang hina serta masa depan pasangan iaitu suami atau isteri akan menjadi gelap. Keadaan ini juga akan memberikan kesan kepada anak-anak kerana kebajikan meraka juga kemunkinan akan terabai. Kesan lain juga ialah akan dipandang negatif serta hilang kepercayaan daripada rakan-rakan tidak kira rakan sekerja ataupun jiran tetangga.
Kesan kedua kes rasuah adalah kepada masyarakat dimana jenayah rasuah boleh merosakkan moral dan etika dalam masyarakat. Hal ini adalah sekiranya jenayah rasuah diterima dan menjadi budaya dalam sesuatu organisasi ataupun institusi masyarakat akan hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap institusi tersebut. Ini boleh dilihat bagi kes rasuah yang melibatkan pihak atasan yang mempunyai kuasa ataupun kepentingan, sekiranya tidak ditangkap oleh pihak berkuasa, mereka akan mengulangi perbuatan tersebut. Situasi ini boleh memberikan kesan dimana masyarakat akan hilang harapan untuk mencapai kemajuan dan juga mendapat keadilan. Malahan kesan pengambilan rasuah akan menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati terhadapa individu yang terkesan, penurunan moral dan etika serta ketidakstabilan sosial dalam kalangan masyarakat. Selain itu, impikasi kes rasuah juga akan meruntuhkan ekonomi masyarakat. Ini kerana sumber dan kekayaan negara disalahgunakan dan diagihkan kepada individu yang tertentu sahaja. Hal ini menyebabkan ketidaksamarataan dalam pembahagian kekayaan dan peluang ekonomi. Masyarakat yang terkesan disebabkan jenayah rasuah akan menghadapi kesukaran dalam kehidupan, ketidakadilan dan kemiskinan. Sebagai contoh, kontraktor yang mempunyai merit dan pengalaman menghantar tender projek di sebuah agensi kerajaan tetapi seseorang individu yang memberikan rasuah berjaya menerima tender tersebut dan mengupah kontraktor yang kurang berpengalaman dan menawarkan harga yang lebih rendah. Tambahan lagi, rasuah juga boleh melahirkan masyarakat yang tidak berkemahiran kerana diambil bekerja disebabkan pemberian rasuah bagi mendapatkan perkerjaan tersebut. Selain itu, rasuah juga boleh memberikan kesan iaitu melahirkan pegawai yang tidak jujur dan amanah serta gagal dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan.
Kesan yang terakhir kes rasuah adalah kepada negara iaitu imej dan kredibiliti negara terjejas. Ini kerana, di era tanpa sempadan ini serta kemajuan media massa, maklumat berkaitan dengan rasuah dalam negara boleh yang dilaporkan atau direncanakan serta boleh diakses oleh masyarakat seluruh dunia. Secara tidak langsung, hal ini akan menjatuhkan imej negara di mata dunia. Ini juga akan memberikan kesan dimana pelabur-pelabur asing akan hilang minat untuk melabur dalam negara kerana meraka tidak percaya kepada sistem pentadbiran negara yang terlibat dengan jenayah rasuah. Selain itu, kesan rasuah terhadap negara adalah ia akan merosakkan sistem perundangan dan pemerintahan negara yang berkesan. Malahan proses membuat keputusan yang sepatunya berdasarkan kepada prinsip keadilan dan kepentingan awam akan menjadi terpesong andainya rasuah menjadi faktor penentunya. Perkara ini juga akan merosakkan institusi negara dan menyebabkan ketidakstabilan politik. Ini akan memberikan kesan dimana negara munkin akan menghadapi kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan awam, kekurangan dalam pengurusan sumber dan pembangunan ekonomi yang lembap.
Kesimpulannya, amalan rasuah akan memberikan kesan yang negatif kepada individu, masyarakat dan negara. Oleh itu, untuk mencegah dari terjadinya perkara ini, kesedaran dan pendidikan masyarakat perlu dipertingkatkan serta tindakan tegas perlu diambil bagi pelaku rasuah tanpa mengira kedudukan ataupun pangkat.