15/07/2026
LAWATAN KERJA KUMPULAN PENYELIDIK SOTECH KE NAHRIM
6 JULAI 2026 - Lawatan kerja Kumpulan Penyelidik SoTech, UTeM ke National Water Research Institute of Malaysia(NAHRIM), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi melalui penerokaan peluang membina dan mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, perundingan, khidmat kepakaran, penerbitan dan program komuniti berimpak. Pertemuan ini menjadi platform penting untuk membincangkan potensi pelaksanaan projek penyelidikan bersama yang memanfaatkan kepakaran rentas bidang dan kemudahan penyelidikan yang dimiliki oleh kedua-dua organisasi.
Lawatan kerja kami ini disambut oleh YBrs Ir. Ts. Gs. Dr. Safari Hj Mat Desa, Timbalan Ketua Pengarah (Menanggug Kerja Ketua Pengarah NAHRIM). Perbincangan ini memberi tumpuan kepada beberapa bidang kerjasama berimpak tinggi, antaranya pembangunan teknologi lestari, pengurusan sumber air, adaptasi perubahan iklim, teknologi pintar, penggunaan makmal dan fasiliti penyelidikan, pemindahan ilmu, serta menjayakan program komuniti berimpak berasaskan penyelidikan.
Selain itu, sesi perbincangan turut meneroka peluang kerjasama kumpulan penyelidikan SoTech dalam permohonan geran padanan (matching grant) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pembangunan projek bersama dengan rakan industri, serta pelaksanaan program pembangunan kapasiti seperti latihan profesional, seminar, bengkel, persidangan, penerbitan berindeks dan aktiviti perkongsian ilmu yang dapat memberi manfaat kepada penyelidik, pelajar, komuniti dan pemegang taruh.
Sebagai langkah memperkukuh hubungan strategik, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai kerangka kerjasama rasmi, yang seterusnya boleh diperincikan melalui Memorandum Perjanjian (MoA) bagi pelaksanaan projek-projek khusus pada masa hadapan. Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan penyelidikan berimpak tinggi, penghasilan inovasi berasaskan teknologi, pembangunan modal insan serta menjayakan program kesedaran awam terhadap pengurusan air, sungai dan bencana.
Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTeM
Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa - UTeM
Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi - UTeM
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UTeM
Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi UTeM
Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka
Institute of Technology Management And Entrepreneurship - IPTK UTeM