06/11/2025
KENYATAAN MEDIA BERSAMA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
DAN
EXCO HAL EHWAL AGAMA ISLAM, HAL EHWAL ADAT MELAYU DAN WARISAN NEGERI SELANGOR
ISU PENDAFTARAN MURID SEKOLAH RENDAH ISLAM AL-AFSARI UNTUK MENDUDUKI UJIAN PENILAIAN AL-QURAN DAN FARDHU AIN (UPKK) TAHUN 2025 SELESAI.
5 November 2025 / 14 Jamadilawal 1447H
1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, dan EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah, memaklumkan bahawa isu pendaftaran 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra, Puchong untuk menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025 telah selesai.
2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengadakan beberapa sesi semakan dan perbincangan bersama pihak sekolah berkenaan bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh dapat dicapai tanpa menjejaskan hak pelajar.
3. Hasil perbincangan bersama, pihak JAIS telah bersetuju memberikan kebenaran khas kepada kesemua 80 murid terbabit untuk menduduki UPKK Tahun 2025, dengan beberapa penyelarasan iaitu:
* JAIS akan mendaftarkan kesemua murid untuk tujuan Sistem Pendaftaran Calon UPKK;
* Semua murid akan mengambil peperiksaan di pusat peperiksaan yang berdaftar (sekolah tumpang); dan
* Peperiksaan lisan untuk 3 mata pelajaran yang telah selesai akan diaturkan selepas peperiksaan bertulis.
4. Keputusan ini dicapai hasil arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokkhtar supaya JAKIM dan JAIS belerjasama dengan mengambil kira kepentingan pelajar, ibu bapa dan masa depan pendidikan Islam mereka.
5. Pihak sekolah juga telah memberikan komitmen untuk mengambil langkah segera bagi melengkapkan proses pendaftaran rasmi mengikut garis panduan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988, dengan bimbingan JAIS.
6. Dengan keputusan ini, semua 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari akan dapat menduduki UPKK Tahun 2025 seperti calon lain di seluruh negara. JAKIM dan JAIS akan terus memantau pelaksanaannya agar berjalan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan.
7. Kedua-dua pihak menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan pihak sekolah atas kesabaran serta kerjasama yang baik sepanjang proses ini berlangsung. Namun, kerajaan menegaskan bahawa mana-mana sekolah atau institusi pendidikan Islam yang masih beroperasi tanpa pendaftaran rasmi dengan pihak berkuasa agama negeri akan dikenakan tindakan tegas. Pihak Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap isu pematuhan peraturan dan keselamatan murid, kerana ia melibatkan kredibiliti sistem pendidikan Islam dan pendirian integriti kita sebagai umat beragama Islam. Diharapkan semua pihak dapat menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran untuk memperkukuh kepatuhan terhadap garis panduan pendaftaran institusi pendidikan Islam di masa hadapan.
8. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor kekal komited memperkukuh ekosistem pendidikan Islam negara melalui pendekatan "Pendidikan Islam MADANI”, berteraskan prinsip ilmu, adab dan tadbir urus yang berintegriti demi manfaat anak-anak generasi akan datang.
Sekian, terima kasih.
YB SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
YB TUAN DR. MOHAMMAD FAHMI BIN NGAH
EXCO Agama Islam & Pembudayaan Negeri Selangor