13/08/2025
PENYELIDIK UTeM CIPTA SISTEM PENAPISAN BERTEKNOLOGI TINGGI, MESRA ALAM BAGI TERNAKAN IKAN DI ASIA TENGGARA
Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membangunkan Sistem Penapisan Tanpa Penukaran Air Berteknologi Internet Kebendaan (IoT) bagi penternakan ikan di Asia Tenggara sekali gus mengurangkan kos operasi, menjimatkan air sekaligus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Inovasi ini menangani masalah pengumpulan ammonia dalam kolam ikan, memastikan kualiti air terjaga dan ekosistem kekal seimbang.
Projek ini telah dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Tan Sri Dr Nor Fariza bersama ahli kumpulannya yang terdiri daripada Dr. Suhaila Mohd Najib, Zaid Arshad dan Naim Badaruddin. la turut melibatkan kerjasama pakar antarabangsa seperti Prof. Dr. Takashi Yamaguchi dan Dr. Nur Adlin Abu Bakar dari Nagaoka University of Technology, Jepun; Ir. Ts. Dr. Nurul Fariha Lokman dari UiTM Shah Alam; dan Ir. Dr. Khusna Dwijayanti dari Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia.
Dengan kerjasama pakar tempatan dan antarabangsa, UTeM membuktikan teknologi tempatan mampu bersaing di pentas serantau, malah berpotensi digunakan di seluruh dunia.
Projek ini berjaya menewaskan 1,341 penyertaan dari 10 negara Asia Tenggara untuk merangkul geran RM180,000 dalam ASEAN Blue Innovation Challenge (ABIC) anjuran UNDP Indonesia dengan sokongan Kerajaan Jepun.
Kejayaan ini mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI menggabungkan kemajuan teknologi, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat. UTeM bukan sahaja mengangkat nama negara, malah memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mencipta penyelesaian lestari yang memberi manfaat kepada dunia.
Zambry Abd. Kadir
Mustapha Sakmud
Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTeM