22/05/2026
❤️
KEDAH TERUS LAHIRKAN ATLET PELAPIS NEGARA
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kedah tidak akan ketandusan bakat muda hasil usaha berterusan membina masa depan generasi belia negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan S**an, Muhammad Radhi Mat Din berkata, semangat kesukanan yang diterapkan bukan sekadar untuk melahirkan juara di gelanggang, malah membentuk generasi muda yang berjiwa kental, berdisiplin dan bercita-cita tinggi.
“Negeri kita melahirkan ramai tokoh dan atlet hebat dalam pelbagai bidang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan S**an Maktab Mahmud Negeri Kedah (KESUMAM) Kali Ke-21 Tahun 2026 di Stadium S**a Menanti, di sini.
“Inilah yang kita mahukan, iaitu melahirkan anak-anak muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan agama, tetapi juga sihat tubuh badan, kuat mental serta mempunyai semangat juang tinggi selaras dengan aspirasi The Greater Kedah,” katanya.
Menurut beliau, sukan bukan sekadar medan pertandingan untuk mencari siapa paling pantas, kuat atau hebat, sebaliknya menjadi medium penting mendidik nilai kehidupan.
“Kadang-kadang kemenangan terbesar dalam hidup bukanlah ketika kita berdiri di podium menerima pingat, tetapi apabila kita berjaya melawan rasa takut, mengatasi rasa malas dan membuktikan kepada diri sendiri bahawa kita mampu pergi lebih jauh daripada jangkaan.
“Bukan semua orang mampu bangkit semula selepas jatuh, namun atlet dididik untuk tidak pernah menyerah kalah,” katanya.
Tambah beliau, sukan juga mempunyai kekuatan menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang selain memupuk budaya hormat-menghormati, disiplin serta prestasi.
“Semoga kejohanan ini terus menjadi platform terbaik melahirkan generasi muda yang cergas, berdaya saing, berdisiplin serta mampu mengharumkan nama Kedah dan Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.