28/10/2025
BENGKEL PERANCANGAN STRATEGIK WAKAF, ENDOWMEN & ZAKAT UNIVERSITI AWAM (UA) 2025
KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2025(Khamis) β Bengkel Pelan Perancangan Strategik Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti Awam (UA) 2025 telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) selaku Pengerusi Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti Awam (MAWEZ), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT.
Universiti Sains Malaysia (USM) turut menyertai bengkel ini melalui kehadiran wakil daripada Pejabat Zakat Waqaf dan Infaq (ZAWAIN), Kampus Kesihatan, bersama-sama delegasi daripada universiti awam lain seluruh negara. Penyertaan ini mencerminkan komitmen USM dalam memperkukuh pengurusan dana amanah serta memperluas impak wakaf, endowmen dan zakat di peringkat institusi.
Bengkel ini menjadi platform penting bagi memperkukuh hala tuju strategik dan tadbir urus MAWEZ yang dianggotai oleh 20 Universiti Awam (UA). Melalui sesi perbincangan dan libat urus, bengkel ini turut menghasilkan resolusi strategik bersama ke arah memperkasa pelaksanaan pelan tindakan wakaf, endowmen dan zakat di setiap universiti.
Inisiatif ini diharap dapat mempergiatkan keberkesanan kutipan serta pengurusan dana kebajikan universiti, seterusnya membantu setiap UA mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan dalam aspek pendanaan wakaf, endowmen, zakat dan sumbangan masyarakat.
MAWEZ UA