15/06/2026
LAPORAN PERHIMPUNAN BULANAN KOKURIKULUM (MEI 2026)
Pada 11 Mei 2026 yang lalu, Perhimpunan Bulanan Kokurikulum bagi bulan Mei telah berjaya dilaksanakan dengan penuh disiplin dan lancar. Perhimpunan rasmi kali ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh ahli Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) sebagai unit beruniform bertugas.
Majlis dimulakan dengan kawad masuk pembawa bendera, nyanyian lagu-lagu rasmi, bacaan doa, serta ikrar kokurikulum yang dipimpin secara tertib oleh ahli PPIM yang segak berpakaian seragam lengkap. Komitmen dan kelancaran yang ditunjukkan oleh unit bertugas sepanjang mengendalikan tentatif perhimpunan amatlah dipuji dan membuktikan tahap kepimpinan yang tinggi dalam kalangan pelajar.
Selain daripada agenda rasmi perhimpunan, majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada para pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dalam pelbagai pertandingan kokurikulum sepanjang bulan April dan Mei.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru-guru penasihat PPIM atas bimbingan yang diberikan, serta seluruh warga sekolah atas kerjasama padu dalam menjayakan perhimpunan kokurikulum ini.
Semoga pengisian perhimpunan ini dapat menyemarakkan lagi semangat jati diri, disiplin, dan minat para pelajar untuk terus aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.
Sekian, terima kasih.