29/08/2023
MENUJU KEMERDEKAAN NEGARA
Walaupun tarikh kemerdekaan bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu ditetapkan pada 31 Ogos 1957, Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu telah ditandatangani lebih awal iaitu pada 5 Ogos 1957 di King's House (kini Carcosa Seri Negara) di Kuala Lumpur.
Perjanjian ini telah dimeterai di antara wakil Ratu Elizabeth II di Tanah Melayu dengan Raja-Raja Melayu. Antara tokoh yang terlibat termasuklah Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray, lapan orang Raja-Raja Melayu, Tunku Mahkota Johor, lima orang pembesar dari Negeri Sembilan dan saksi-saksi kepada para penandatangan perjanjian tersebut.
Apa yang menarik ialah pena yang digunakan untuk menandatangani perjanjian tersebut dihias dengan ayat "Federation of Malaya Agreement 1957". Perjanjian yang ditandatangani ini mengandungi 40 salinan iaitu 20 dalam bahasa Melayu dan 20 dalam bahasa Inggeris.
Menurut Perkara 3 perjanjian tersebut, 11 negeri Melayu dan Selat (kecuali Singapura) akan bergabung sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya yang merdeka selepas 31 Ogos 1957. Hal ini terlebih dahulu sudah disahkan melalui Federation of Malaya Act 1957 yang digubal dan diluluskan di Parlimen Britain pada 31 Julai 1957 di mana Britain menjamin keabsahan kemerdekaan Tanah Melayu serta menerima negara kita sebagai anggota Komanwel selepas mendapat kemerdekaan.
Sumber: Jabatan Arkib Negara (disunting)