Langbuana Media

Langbuana Media

Share

"SEKADAR PERKONGSIAN ILMU".

15/12/2023

Kecoh lagi isu tapau vs catch & release ikan peacock bass kat satu group ni,nantilah saya tulis lagi tentang ni. Benda ni sebenarnya dah berkali-kali diperjelaskan secara terperinci untuk difahami sebaiknya,baik dari sudut biodiversiti,hobi,dan keperluan,tapi saya tahu ramai tak baca sebab mereka yang tak membaca hanya mahu fokus pada hobi mereka saja.

Itu pilihan anda nak tapau atau C&R ke,cuma yang salahnya bila anda menafikan kesan buruknya menggunakan hujah kosong yang tak betasas dan tanpa kajian demi menghalalkan keinginan peribadi anda,dan anda juga tidak patut mengecam pemancing yang tapau,sedangkan sebahagian besar mereka yang tapau hanya berusaha untuk mengurangkan spesies ini dan bagi ruang ikan tempatan membiak semula,bukan sebab perut kebulur,kebanyakan yang saya kenal yang tapau peacock bass mereka tak makan pun ikan ni.

Ikan ni tak bersalah pun,dia bukan tahu apa,tapi yang bersalah adalah manusia yang berakal tapi sengaja memperluaskan taburannya di Malaysia atas dasar hobi semata-mata.

* Kebanyakan angler 'old timer' yang saya kenal (mereka juga ada dalam ni),semua luahkan bahawa rindu zaman sebarau masih frenzy (sekitar 30 tahun dahulu),menurut mereka ketika itu pun kepelbagaian spesies tempatan masih kelihatan sihat,sebab kata mereka sendiri keadaannya mula berbeza selepas kemunculan peacock bass. Kalau baca majalah pancing era 1990an,boleh baca penulisan-penulisan menarik oleh mereka ni.

* Sebenarnya isu ni pakej sekali dengan peningkatan aktiviti memukat yang tak terkawal apabila munculnya pukat-pukat moden sejak sekitar 20 tahun lalu,antara punca utama juga ikan tempatan berkurangan,selain faktor kemunculan ikan pendatang,sebelum itu tak ada mesin untuk hasilkan pukat dan bukan mudah nak siapkan satu pukat.

23/01/2023
13/04/2022

PERKAMPUNGAN ULAMA DI PAHANG

TEMERLOH: Kampung Berhala Gantang dalam daerah ini adalah kawasan perkampungan Melayu yang unik kerana namanya didahului perkataan berhala yang biasanya ditafsirkan sebagai patung, objek yang disembah, dipuja dan diagung-agungkan.
Difahamkan, persoalan dan polemik tentang nama Berhala Gantang wujud sekian lama oleh generasi demi generasi di situ ekoran kewujudannya sebelum kedatangan Inggeris di Pahang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengetua Pusat Tahfiz Al-Amin Kampung Berhala Gantang, Wahid Abdul Ghaffar Ibrahim berkata, kedudukan kampung itu kira-kira enam kilometer dari Temerloh dan berhampiran Sungai Pahang, menjadi persinggahan utama pedagang, alim ulama dan raja-raja pada era pemerintahan Bendahara Johor-Riau.

Beliau berkata, di perkampungan tersebut, lahir ramai alim ulama dan wujudnya pusat-pusat dakwah yang aktif pada pertengahan abad ke-18 hingga abad ke-21.
“Walaupun nama Berhala Gantang tetapi secara lahiriah kampung ini menjadi pusat perkembangan Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah di Pahang sehingga hari ini.
“Nama Berhala Gantang tidak langsung menjejaskan akidah dan kepercayaan penduduk di sini kerana ia sekadar nama walaupun mungkin orang luar menganggap sebagai tempat banyak kuil,” katanya di sini semalam.
Wahid yang juga anak jati Kampung Berhala Gantang berkata, di kampung itu tertubuhnya Sekolah Pondok Al-Wosto diasaskan Tuan Guru Hassanuddin Mohamad sekitar 1915 yang mempunyai kira-kira 400 murid dari seluruh Tanah Melayu.
“Di Kampung ini terdapat juga Sekolah Tahfiz Al-Amin yang diasaskan oleh saya sendiri pada 1996 sebagai kesinambungan Sekolah Pondok Al-Wosto yang mempunyai lebih 100 murid,” katanya.
Beliau berkata, sebagai rujukan salah seorang ulama yang lahir dari pengajian agama di Kampung Berhala Gantang ialah Kadi Ibrahim Hurairah yang juga dikenali sebagai Kadi Ibrahim Berhala Gantang.
“Kadi Ibrahim ialah Kadi Pahang yang pertama pada era Sultan Pahang pertama Sultan Ahmad Muadzam Shah dan menjadi watak penting menghalang hasrat Inggeris membina gereja di pinggir Sungai Pahang yang menjadi tumpuan orang,” katanya.
Bercerita lanjut, beliau berkata, nama Kampung Berhala Gantang mungkin daripada perkataan ‘menghala’ untuk melihat objek gantang besar iaitu bekas menyukat padi.
“Lama kelamaan nama itu bertukar kepada Berhala Gantang tanpa ada kaitan langsung dengan berhala sembahan penganut Buddha.
“Versi lain ada menyebut kemungkinan memang wujud berhala emas atau patung Buddha di sini pada era Pahang di bawah kuasa kerajaan Siam,” katanya.
Menurutnya, kampung tersebut diambil alih seorang ulama awal Pahang yang berasal dari Minangkabau, Shahibudin Zainal Abidin atau Tok Shahibudin sekitar tahun 1760-an sekali gus menamakan tempat ini dengan Kampung Berhala Gantang. – UTUSAN

Sumber : Utusan Malaysia (8/10/2021)

Tulisan : Salehudin Mat Rasad

13/04/2022

Perkataan Hari Ini.
tako, tepung pelita dan limas

limas - kuih yang dibuat menggunakan bancuhan tepung gandum, santan dan gula, terdiri daripada dua warna, iaitu hijau di bahagian bawah dan putih di bahagian atas, biasanya dimasukkan dalam acuan yang dibuat daripada lipatan daun pisang sebelum dikukus.


13/04/2022

GULAI LEMAK JANTUNG PISANG

Rakyat Malaysia terkenal dengan daya kreatif dan inovasi dalam penghasilan sesuatu untuk tujuan keperluan hidup. Antara buktinya adalah penghasilan pelbagai cara masakan untuk satu-satu jenis sayuran atau sumber makanan.

Pokok pisang merupakan antara tanaman yang mudah dijumpai dan banyak ditanam di sekeliling rumah terutamanya di kawasan perkampungan. Selain buahnya yang boleh dimakan, jantung pisang yang selalunya direbus sebagai ulam juga boleh dipelbagaikan versi masakan antaranya dijadikan gulai. Cara masakan gulai lemak jantung pisang ini mudah dan sangat menyelerakan terutamanya apabila dimakan bersama nasi panas.

BAHAN-BAHAN:
• 2 biji jantung pisang
• 500 gm santan
• 2 batang serai – dititik
• Garam secukup rasa

BAHAN TUMBUK:
• 100 gm ikan bilis / udang kering
• 5 ulas bawang merah
• 2 cm kunyit hidup
• 6 biji cili api

CARA MEMBUATNYA:
1. Kupas kelopak jantung pisang yang berwarna ungu sehingga sampai ke lapisan yang bewarna putih. Buang tangkainya dan toskan getah. Belah kepada dua bahagian.
2. Rebus jantung pisang dengan air yang banyak sehingga lembut. Kemudian toskan. Apabila telah sejuk, potong kecil-kecil.
3. Kemudian masukkan semua bahan kecuali jantung pisang ke dalam periuk. Nyalakan api sederhana besar. Kacau agar kuahnya tidak pecah santan.
4. Setelah kuah telah mendidih, masukkan jantung pisang. Kacau rata sehingga masak.
5. Angkat dan hidangkan bersama nasi panas.

"𝐾𝑒𝑛𝑎𝑙𝑖, 𝑆𝑎𝑦𝑎𝑛𝑔𝑖 𝑑𝑎𝑛 𝐿𝑒𝑠𝑡𝑎𝑟𝑖 𝑊𝑎𝑟𝑖𝑠𝑎𝑛 𝐾𝑖𝑡𝑎"

13/04/2022

BUBUR LAMBUK telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2015. Bubur lambuk merupakan makanan berasaskan beras putih yang dimasak bersama santan, daging, beberapa jenis bahan-bahan rempah seperti halba, kulit kayu manis, bunga cengkih, jintan putih, buah pelaga dan bunga lawang. Selain itu untuk menambahkan lagi rasa dan aroma, dimasukkan juga beberapa jenis daun seperti daun pandan, daun sup, daun bawang dan bawang goreng ditabur sebagai pelengkap hidangan. Bubur lambuk mempunyai signifikan dengan masyarakat Malaysia terutamanya orang Islam dimana ia biasanya dimasak secara gotong royong pada bulan Ramadan dan diagih-agihkan kepada masyarakat setempat sebagai hidangan berbuka puasa.

(Resepi: Buku Makanan Warisan Malaysia – Hidangan 15 orang)

BAHAN-BAHAN
• 2 cawan marjerin dan 1 cawan minyak sapi
• 10 labu bawang besar, dimayang
• 14 ulas bawang putih, dimayang
• 10 cm halia, dimayang halus
• 10 helai daun pandan

REMPAH MENUMIS:
• 15 cm kayu manis
• 15 kumtum bunga cengkih
• 5 kuntum bunga lawing
• 10 biji pelage
• 5 sdt halba

REMPAH DISANGAI DAN DIKISAR:
• 2 sdm biji ketumbar
• 1 ¾ sdm jintan putih
• 1 ¾ sdm lada putih
• 1 ¾ lada hitam

• 5 cawan udang kering, direndam dan dikisar
• 2.5 kg daging tetel, dipotong menjadi ketulan kecil
• Air
• 5 cawan beras, dicuci dan toskan
• 10 batang lobak merah, dipotong dadu
• 2 ½ cawan kurma tanpa biji, dipotong dadu
• 2 ½ liter pati santan
• 5 cawan bawang goreng, diketepikan 1 cawan untuk hiasan
• Garam secukup rasa

BAHAN HIASAN:
• 10 tangkai daun ketumbar atau daun sup, diracik halus
• 10 tangkai daun bawang, diracik halus
• Bawang goreng

CARA MEMASAK:
1. Panaskan marjerin dan minyak sapi di dalam periuk besar. Dengan menggunakan api yang sederhana, tumis bawang besar dan bahan aromatik berikutnya selama 3 minit. Masukkan rempah yang telah disangai dan dikisar, tumis hingga garing. Kemudian masukkan udang kering.
2. Masukkan daging ke dalam periuk dan goreng sehingga terbit minyak. Tuangkan air secukupnya dan rebus daging sehingga tiga suku masak.
3. Masukkan beras ke dalam periuk berisi daging dengan air secukupnya supaya beras hancur menjadi bubur.
4. Masukkan bahan-bahan yang masih berbaki seperti lobak merah, kurma, bawang goreng dan garam secukup rasa. Tuangkan santan dan gaul.
5. Selepas bubur lambuk siap dimasak, taburkan daun ketumbar, daun bawang dan lebihan bawang goreng. Kacau sebentar.

"𝐾𝑒𝑛𝑎𝑙𝑖, 𝑆𝑎𝑦𝑎𝑛𝑔𝑖 𝑑𝑎𝑛 𝐿𝑒𝑠𝑡𝑎𝑟𝑖 𝑊𝑎𝑟𝑖𝑠𝑎𝑛 𝐾𝑖𝑡𝑎"

Photos from Dr Ahmad Sanusi's post 12/04/2022
12/04/2022

DOA AGAR DIPERMUDAHKAN URUSAN

Daripada Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Kamu kehendaki dengan kemudahan.

Riwayat Ibn Hibban (974), Ibnu al-Sunni dalam
'Amal al-Yaum wa al-Lailah (351) dan al-Baihaqi
dalam al-Da'awat al-Kabir (265).

10/04/2022

Makanan ini telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2018. BINGKA ATAU BENGKANG SAWIT merupakan kuih yang dihasilkan daripada buah kelapa sawit. Juadah ini jarang ditemui namun ia amat popular dikalangan anak peneroka yang tinggal di tanah rancangan FELDA.

Kuih yang terhasil daripada kebijaksanaan dan kreativiti masyarakat tempatan ini mempunyai tekstur lembut dengan rasa lemak manis dan aroma wangi yang terhasil daripada pati buah sawit yang telah direbus. Hidangan warisan ini enak dinikmati ketika masih panas dan sering dijadikan juadah sewaktu minum petang.

BAHAN:
• 250 gm biji kelapa sawit (buah lerai)
• 450 gm tepung gandum
• 360 gm gula
• 250 ml santan pekat
• ½ sudu kecil garam
• 2 ½ sudu kecil air suam
• Bijan

CARA MEMBUAT:
1. Rebus buah kelapa sawit sehingga empuk.
2. Ramas dan perah biji kelapa sawit sehingga ia mengeluarkan pati dan kumpul pati ini ke dalam bekas.
3. Tapiskan pati biji kelapa sawit yang telah dikumpul ini ke dalam bekas.
4. Campurkan pati minyak sawit dengan semua bahan lain kecuali bijan dan gaul sebati.
5. Tapis bancuhan ke dalam loyang yang telah dioles minyak.
6. Taburkan bijan ke atas adunan.
7. Bakar adunan dalam suhu 180oC sehingga masak.

"𝐾𝑒𝑛𝑎𝑙𝑖, 𝑆𝑎𝑦𝑎𝑛𝑔𝑖 𝑑𝑎𝑛 𝐿𝑒𝑠𝑡𝑎𝑟𝑖 𝑊𝑎𝑟𝑖𝑠𝑎𝑛 𝐾𝑖𝑡𝑎"

Photos from Ajar's post 10/04/2022
Want your school to be the top-listed School/college in Kuala Lumpur?

Click here to claim your Sponsored Listing.

Location

Category

Address


Kuala Lumpur