20/04/2021
KELANTAN GAPURA MULAQA: SATU CETUSAN AWAL SIRI V
Oleh: JakaMarga
Hang Tuah atau Awang Tuah: Sekilas Komplikasi¹
Polimik salasilah Laksamana Hang Tuah terus menjadi perdebatan di kalangan ahli sejarah, bahkan ada segelintir cerdik pandai yang menafikan kewujudannya sama sekali! Pendapat segelintir cerdik pandai itu tidaklah didasari dengan hujah dan alasan yang konkrit, apalagi sudah banyak kajian dan penemuan artifak yang membuktikan perihal kewujudan Hang Tuah (Awang Tuah?) di pentas Alam Melayu.
Pelbagai kontradiksi dalam periwayatannya melalui pelbagai penulisan kuno dan moden,² sama ada daripada segi gelaran dan pengkisahan. Manalagi bila sesetengah penghikayat bersikap berat sebelah dalam penyusunan sejarah sehingga memesongkan penceritaan asal dan memendam kesumat di dalam penulisannya.³
Mengikut beberapa orang penulis Sejarah Kelantan, Hang Tuah (Hu-wang Tuha) yang dikatakan sentiasa bersama Kerajaan Majapahit menentang pemberontakan Siam di Fathoni dan Semenanjung adalah merujuk kepada Kerajaan Majapahit-Kelantan,⁴ bukanlah Kerajaan Majapahit I yang berpusat di Jawa Timur itu.⁵ Tambahan p**a, ada pendapat yang mengatakan bahawa ayahnya berasal dari Bukit Yong (Pasir Puteh, Kelantan) dan ibunya dari Champa.⁶ Manakala gurunya yang bernama Adi Putra (Syeikh Thanaudin) itu menetap di Bukit Panah/Panau (Kelantan) dan di sinilah juga Hang Tuah belajar dan mendalami ilmu seni silat.⁷ Kelantan-Fathoni mempunyai hubungan yang karib dengan Kerajaan Champa dan Funnan sedari awal Masihi lagi.⁸
Hang Tuah seperti yang masyhur dikisahkan, semasa peristiwa ‘orang kapak' mengamuk itu, beliau sedang membelah kayu-kayan menggunakan sebilah kapak. Beliau berjaya menumpaskan ‘amukan kapak' itu dengan mudah dan berani. Penggunaan kapak ini amat sinonim dengan masyarakat Melayu Kelantan-Fathoni sejak dahulu lagi.
Sebutan ‘Hang Tuah' dalam tulisan Ryukyu sebagai ‘Hu-wang Tuha’,⁹ sekiranya kita menerima pendapat yang mengatakan susur galur laksamana ini daripada Kelantan-Fathoni, maka ada kemungkinan sebutannya sebagai ‘Awang Tuah’ lebih dekat dengan sebutan ‘Hu-wang Tuha’ yang tercatat di dalam catatan Ryukyu tersebut. Bersesuaianlah dengan loghat Kelantan-Fathoni yang sering menggunakan perkataan 'awe ttuah’ untuk merujuk kepada ‘budak baik’ atau ‘anak bertuah’ kepada seseorang pemuda yang banyak berjasa.
Panggilan ‘awang’ dan ‘mek’ adalah nama timangan yang digunakan sebagai panggilan manja dan keakraban dalam masyarakat Kelantan-Fathoni. Sebagai contoh, Awang Kecik (Mat Saman Kelantan), Awang Gemuk (Tok Kemboja Tua), Awang Yusuf (Tok Kenali), Awang Selamat,¹⁰ Panglima Awang,¹¹ dan lain-lain.
Perlu diingat, ketika mengkaji identiti masyarakat Melayu Kelantan-Fathoni ada beberapa ciri penting yang perlu diteliti. Gelaran dan panggilan yang diberikan kepada individu tertentu berdasarkan ciri-ciri seperti berikut:¹²
I. Perwatakan tubuh.
II. Kampung.
III. Tempat kelahiran.
IV. Fungsi atau pekerjaan.
V. Keahlian atau kepakaran.
VI. Sifat dan perangai.
VII. Loghat daerah.
Allahu ‘alam.
Rentetan ceritera-ceritera kusut dalam pengkisahan Awang Tuah, timbullah berbagai-bagai andaian yang menjengkelkan peribadi laksamana agung ini. Akhirnya, melahirkan persona (watak rekaan) yang jauh menyasar daripada budaya, budi dan norma agama. Sedangkan, beliau ialah anak sasian (murid) kepada seorang ulama tersohor, Syeikh Thanaudin (Adi Putra) tokoh pelopor gerakan Wali Songo, Nusantara.
Wajarkah seorang laksamana Melayu yang alim lagi tinggi budi pekertinya menggadaikan syariat agama demi ketaasuban kepada raja dan wanita? Hingga tergamak membunuh sahabatnya seagama dan asyik dalam kecintaan kepada seorang wanita yang bukan mahram baginya? Begitu rendahkah akhlak laksamana Agung Melayu ini?
Sungguh, penyelewengan ini merupakan kecurangan tangan-tangan penjajah dan sekelian pembelot tercela nian rela menggadaikan maruah. Meracuni sejarah demi kelangsungan serakah. Akhirnya, bangsa yang dijajah hilang jati luntur maruah.
Benarlah, jatuh dan bangunnya sesebuah tamadun kerana kelesuan dan kesedaran akan sejarah bangsanya. Kita, ialah cerminan kepada kefahaman salasilah sejarah moyanganda.
Sifat Kekitaan Dalam Masyarakat Melayu Kelantan
Kata Ibnu Khaldun (semoga Allah merahmatinya):¹³
“Kedaulatan kuasa adalah diakibatkan oleh kekuatan. Kekuatan itu adalah diakibatkan oleh perasaan kekitaan. Hanya dengan pertolongan Allah s.w.t yang merestui agama-Nya, maka individu itu bersikap ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’ dan berpegang kepada ‘hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicicah’”.
Mengikut Ibnu Khaldun, sesebuah tamadun itu didirikan di atas semangat kekitaan (kedaerahan) yang kuat daripada satu bangsa terbesar (majoriti) dalam sesebuah tempat, daerah atau negara.
Amat rapuh sekiranya bangsa minoriti memimpin bangsa majoriti; berlainan bahasa, budaya dan adat. Maka, daya kekuatan pentadbiran bagi bangsa majoriti adalah menerapkan unsur-unsur bangsanya ke dalam kehidupan bangsa minoriti di bawah takluknya. Proses asimilasi ini akhirnya melahirkan asosiasi (perhubungan) di kalangan masyarakat jajahan takluknya.
Sejarah menyaksikan, Kelantan mencengkeram (menakluk) Semenanjung khasnya dan Nusantara amnya. Bermula dari sebelah utara, Nagara Prathama (Nakhon Prathom, Bangkok), seluruh Semenanjung hingga Tumasik (Singapura), Champa, Pulau Sri Lanka, seluruh Pulau Sumatera dan Sunda (Jawa Barat). Kerabat ini berjaya meletakkan pentadbiran di bawah satu kuasa dan raja yang berdaulat.¹⁴ Mereka juga yang terawal mengasaskan Nusantara secara umumnya sejak berkurun sebelum masihi lagi.¹⁵
Masyarakat Melayu Kelantan terkenal dengan semangat kekitaan yang kuat dan hidup secara kedaerahan sejak zaman-berzaman. Walau berhijrah keluar negeri dan negara, ke mana sahaja mereka berkelana pasti akan membawa budaya dan semangat yang sama, hingga membina perkampungan di sana. Budaya ini dapat kita lihat berkekalan hingga ke hari ini. Di sini mereka berkelahi, di tempat orang mereka berintegrasi.
Di mana pun kita pergi, nama ‘Kelantan’ sentiasa didengari, ada yang terpuji, ada juga yang terkeji. Ada yang alim, ada yang pandir. Ada yang berkuasa, ada yang tak berdaya. Perihal politik p**a, merekalah punca, merekalah neraca. Begitulah seterusnya, aneka warna wajah-wajah temperamen (sifat) ini menjadikan masyarakat Melayu Kelantan sebuah kerabat yang mandiri dan berdaulat sejak beratus-ratus abad yang lalu.
Kelantan selalu dikaitkan dengan Fathoni.¹⁶ Walaupun tanah keramat ini telah dirampas oleh bangsa Siam, musuh tradisi Kelantan-Fathoni, tetapi ‘air dicencang tiadalah putus’, tetaplah bersaudara walau terpisah dek angkara, hinggalah hilang seluruh Segenting Kra. Raja-rajanya saling bertautan darah menurunkan salasilah yang membangunkan wilayah hingga tersebar ke seluruh gugusan bentala.
Bangsa Thai; sebuah bangsa terbuang, mencari tempat mengintai peluang, mulanya kita yang memberi ruang, sebuah ras Cina yang kini mencengkam; menambah berang.
Jatuh bangun Kelantan-Fathoni dalam politik; perang sesama saudara atau dendam berlainan bangsa, tetaplah diingati sebagai sebuah tamadun pembangun Nusantara gergasi!¹⁷
Masyarakat Melayu Kelantan-Fathoni sejak dahulu terkenal dengan semangat yang s**a merantau atas pelbagai tujuan; meneroka, berdagang, dan menuntut ilmu; berlayar jauh meredah lautan.¹⁸ Apakala tiba di rantau baru, masyarakat ini tidak segan bersilaturahim dan bila jumlah mereka bertambah ramai, mereka akan menamakan rantau ini dengan nama kampung Kelantan-Fathoni. Maka, tidaklah aneh bila kita melihat banyak tempat-tempat di Nusantara khasnya, adanya nama-nama dari kampung Kelantan-Fathoni.¹⁹
Penemuan nama kampung dan daerah yang serupa di luar Kelantan-Fathoni, sama ada di Semenanjung Malaysia atau seluruh Asia Tenggara menjadi bukti budaya dan kebersamaan yang kuat di dalam masyarakat Melayu Kelantan-Fathoni.
Sebagai contoh di kep**auan Halmahera, Indonesia ada negeri Patani, Singapura ada Bachok dan Tanah Merah, Yogyakarta (Jawa Tengah) ada Perupuk, jalan Kota Bharu, Tawang, dan Klaten, Jawa Timur p**a ada Tuban,²⁰ dan banyak lagi sepertinya.
Mengenai perhubungan dan kesamaan budaya dan adat antara Kelantan-Fathoni dan Nusantara p**a dapat kita lihat di dalam sosiobudaya seperti di Minangkabau,²¹ Sulawesi Selatan,²² Yogyakarta,²³ Banten²⁴ dan lain-lain.
Kelantan: Mulaqa, Pesanggerahan Sarwa Gergasi
Sebuah tamadun agung tidaklah terbina di atas denai mumban yang baharu berputik sekadar 100-200 tahun sahaja. Bahkan ia memerlukan masa, kuasa dan pengalaman yang cukup untuk membina sebuah empayar yang masyhur dan kompeten.
Ketika perang besar antara Fathoni dan Siam meletus, Sultan Muzaffar Syah menghantar 200 buah kapal Jong dan menawan ibu kota Kerajaan Ayuthaya (pada tahun 1568). Ini menunjukkan, betapa besarnya pelabuhan dan kekuatan kerabat Kelantan-Fathoni pada ketika itu.²⁵
Tamadun Melayu Kelantan-Fathoni, melakar sejarahnya yang tersendiri, menjadi perantara bagi perlabuhan timur dan barat; ratusan tahun nan megah berdiri.²⁶
Fathoni (merujuk wilayah besar) sebagai laluan perhubungan bagi daratan (utara), manakala Kelantan p**a bagi lautan (selatan). Pantai Timur laut Semenanjung sebagai jambatan, dan Kelantan sebagai negara dengan kuala-kualanya yang menghadap ke Teluk Siam dan Laut China Selatan, tengah-tengah antara daratan dan kep**auan.²⁷
Bermula dengan namanya Medang Kamulan (SM), hinggalah Negara Fathoni Besar (TM), kerabat ini memainkan peranan yang penting dalam sejarah Asia Tenggara. Bahkan merekalah yang melahirkan manggala (pemuka/perintis) di Semenanjung, Yunnan, bahkan Nusantara.²⁸ Tidaklah seperti dakwaan seorang ahli sejarah itu yang mengatakan sejarah Kelantan jauh tenggelam kerana tidak ada yang berminat dek peranannya yang lemah dalam pensejarahan negara.²⁹
“‘Negara Serambi Mekah’ julukan yang diberi,
Menyimpan rahsia; beribu erti,
Beraneka daya agar ‘serambi’ bersendiri;
Akhirnya ramai yang menjauh; membenci,
Kelantan dan Aceh, dua serambi yang tetap teguh berdiri.”
Maka, selayaknyalah ia digelar ‘Mulaqa (tempat pertemuan), pesanggerahan sarwa gergasi’; yang diertikan sebagai, ‘tempat persinggahan (pelabuhan) yang masyhur lagi agung'.
Melayu Kelantan, merambah ketamadunan bangsa yang mandiri.
_____________________
¹Perbahasan lanjut pada makalah yang lain.
²Hashim Musa dan Rohaidah Kamaruddin, Hang Tuah Catatan Okinawa, Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), 2015, hlm. 88-90. Ahmat Adam sebaliknya menyangkal pendapat yang telah diterima umum selama ini bahawa Laksamana Melaka yang tersohor itu bernama Hang Tuah kerana terdapat pantang larang dalam kepercayaan Melayu dalam penyebutan nama sebenar seseorang pembesar Melayu. Seorang pembesar Melayu hanya dikenali dengan nama gelarannya, bukan dengan nama sebenar pembesar itu. Beliau juga menyatakan Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya kesusasteraan yang tidak boleh dianggap sebagai sumber sejarah kerana terdapat banyak mitos di dalamnya dan watak Hang Tuah juga sekadar watak sastera, bukan tokoh sejarah. Malah karya itu juga banyak dipengaruhi oleh bahasa dan kesusasteraan Jawa dan telah disalin banyak kali oleh ramai pengarang sehingga terdapat tokok tambah dan kesilapan ejaan. Lihat Ahmat Adam, Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu dan Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia, Petaling Jaya: SIRD, 2016, hlm. 125-132.
³Seperti yang ditulis oleh Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin perihal keturunan raja-raja Fathoni. Beliau mendakwa, raja-raja Fathoni berketurunan Siam, yang kemudiannya menjadi musuh tradisi bangsa Melayu.
⁴Lihat makalah Kelantan Gapura Mulaqa: Satu Cetusan Awal Siri III.
⁵Abdullah bin Mohamed (Nakula), Sejarah Kelantan Beberapa Lintasan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Malaysia, 1980.
⁶Haji Abdul Halim Bashah, Raja Campa & Dinasti Jembal Dalam Patani Besar, Pustaka Reka, 1994.
⁷Diriwayatkan dalam Hikayat Hang Tuah, bahawa semasa mudanya beliau mahir dalam selok-belok persenjataan dan cekap menggunakan kapak. Beliau juga mengalahkan orang mengamuk hanya dengan sebilah kapak saja. Syeikh Faqih Ali (Tarikh al-Fathani) menyebutkan perihal penggunaan kapak atau beliung sebagai senjata peperangan dalam sejarah Fathoni sejak zaman-berzaman.
⁸Abdullah bin Mohamed (Nakula), Keturunan Raja-raja Kelantan dan Peristiwa-peristiwa Bersejarah, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1981.
⁹Haji Abdul Halim Bashah, Raja Campa & Dinasti Jembal Dalam Patani Besar, Pustaka Reka, 1994.
¹⁰Dikatakan beliau ialah pengawal peribadi Puteri Saadong.
¹¹Dikatakan beliau ialah tokoh pelayaran Melayu, Enrique of Malacca.
¹²Abdul Rahman Al-Ahmadi, Warisan Kelantan III: Sejarah Hubungan Kelantan/Patani Dengan Sulawesi Selatan, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1984.
¹³Ibnu Khaldun, Mukadimah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2006.
¹⁴Pada pertengahan abad ke-13 kira-kira tahun 1240 M, Kelantan menjadi pusat Empayar Jawaka yang terletak lingkungan 3 batu ke sebelah barat Bukit Panau/Panah, Pasir Mas. Empayar Jawaka ini dibangunkan oleh Maharaja Surendra atau Suran, putera Trailokyaraja Maulibhushanawarmadewa (Malim Dewa), lihat Abdullah Mohamed (Nakula), Sejarah Kelantan Beberapa Lintasan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Malaysia, 1980.
¹⁵Abdullah bin Mohamed (Nakula), Sejarah Kelantan Beberapa Lintasan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Malaysia, 1980.
¹⁶Dahulunya pemerintahan Fathoni meliputi Nagara Prathama (Bangkok), Sri Dharmaraja (Legor) hinggalah Semenanjung dan Tumasik sebelum dipecah-pecahkan oleh penjajah Siam/Thai (Sukothai dan Ayuthaya) dan dikecilkan wilayahnya menjadi 7 wilayah kecil (pada zaman Dinasti Chakri).
¹⁷Lihat makalah Kelantan Gapura Mulaqa: Satu Cetusan Awal Siri III.
¹⁸Di zaman dahulu, mereka berlayar jauh ke Palembang, Aceh, Jawa, Kalimantan, Bangkok, Saigon, Kemboja, dan Sulawesi, lihat Abdul Rahman Al-Ahmadi, Warisan Kelantan III: Sejarah Hubungan Kelantan/Patani Dengan Sulawesi Selatan, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1984.
¹⁹Lihat Abdul Kadir Adabi dalam novelnya, ‘Melati Kota Bharu', beliau mengatakan nenek moyang Melayu Kelantan-Fathoni merupakan ahli pelayaran yang masyhur dengan perahu p***s melayari lautan, disiarkan dalam Al-Hikmah, Kota Bharu, 1939.
²⁰Di Kelantan ada Kampung Tok Uban, Pasir Mas.
²¹Abdul Rahman Al-Ahmadi, Warisan Kelantan IV: Catatan Sepintas Lalu: Beberapa Perbandingan Antara Kelantan-Minangkabau, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1985.
²²Abdul Rahman Al-Ahmadi, Warisan Kelantan III: Sejarah Hubungan Kelantan-Fathoni Dengan Sulawesi Selatan, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1984.
²³Syahbudin Abdullah, Warisan Kelantan VII: Banyak Persamaan Kelantan-Yogyakarta, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1988.
²⁴Abdul Rahman Al-Ahmadi, Warisan Kelantan XIV: Karya Syeikh Nawawi Al-Banteni Dalam Catatan Kelantan: Hubungan Kelantan-Banten, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1995.
²⁵Haji Abdul Halim Bashah, Raja Campa & Dinasti Jembal Dalam Patani Besar, Pustaka Reka, 1994.
²⁶Abdullah bin Mohamed (Nakula), Zaman Awal Kelantan: Negeri Tersembunyi dalam Sejarah Malaysia, ADABI 78 (Majalah Kump**an Maktab Adabi), 1978.
²⁷Abdullah bin Mohamed (Nakula), Zaman Awal Kelantan: Negeri Tersembunyi dalam Sejarah Malaysia, ADABI 78 (Majalah Kump**an Maktab Adabi), 1978.
²⁸Lihat makalah Kelantan Gapura Mulaqa: Satu Cetusan Awal Siri III.
²⁹Dr. Khoo Kay Kim mengatakan, “...adalah lebih baik tidak dihiraukan daripada sejarah negeri Kedah oleh kerana negeri Kelantan telah tidak merupakan faktor yang penting dalam sejarah jajahan British di bahagian dunia sebelah sini hingga akhir kurun ke-19.” Lihat Zainal Abidin bin Abd. Wahid, Sejarah Malaysia Sepintas Lalu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1972.