23/09/2026
KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
23 SEPTEMBER 2026 | 12 RABIUL AKHIR 1448H
KPM WAJAR PERJELAS RASIONAL, PELAN ALTERNATIF PEMANSUHAN DASAR 30% EKUITI BUMIPUTERA DALAM PENGOPERASIAN IPS
Pemuda PAS Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan rasional sebenar selain membentangkan pelan alternatif sewajarnya terhadap langkah memansuhkan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam pengoperasian Institusi Pendidikan Swasta (IPS) di bawah KPM sendiri.
Ironinya, bukan sahaja keputusan penghapusan ekuiti berkenaan hadir dengan sekadar pernyataan "memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak" tanpa penjelasan yang lebih rasional dan berstruktur, malah kenyataan KPM sendiri bahawa perkara ini turut dipersetujui selepas perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga adalah tersasar.
Pihak MITI mengeluarkan kenyataan balas bahawa mereka tidak dilibatkan dengan perbincangan pemansuhan dasar ekuiti Bumiputera berkenaan, malah tidak terlibat sepenuhnya dengan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera yang terletak di bawah bidang kuasa Menteri Ekonomi. Percanggahan kenyataan di antara KPM mahupun MITI dalam isu ini menggambarkan keputusan "separuh masak" serta tidak menyeluruh dibuat oleh pihak KPM.
Pemuda PAS Malaysia ingin menegaskan pendirian bahawa sebarang keputusan-keputusan yang melibatkan kepentingan Bumiputera harus diurus melalui proses libat urus yang menyeluruh. Ia tidak boleh dilakukan tanpa proses yang betul hanya mengambil kira pandangan beberapa pihak semata-mata. Apatah lagi terdapat percanggahan kenyataan sesama Kementerian memberikan gambaran yang negatif terhadap bagaimana keputusan dan pendirian merentasi Kementerian dibuat di bawah Kerajaan Madani pada hari ini.
Pemuda PAS Malaysia turut menggesa Kerajaan menjelaskan rasional yang menyeluruh terhadap pendirian memansuhkan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam pengoperasian IPS. Malah, KPM juga wajar tampil bertanggungjawab terhadap usaha memperkukuhkan kepentingan Bumiputera sebagai pelan bertindak alternatif pasca pemansuhan ekuiti dibuat. KPM tidak seharusnya memandang perkara ini secara ringan dan bersikap acuh tidak acuh dengan dasar yang dibuat.
Mohammad Kamal Bin Mohamed
Ketua Sektor Pendidikan
Dewan Pemuda PAS Malaysia