28/03/2022
BATCH 2019 - 28.03.2022
Hari ini merupakan hari terakhir buat batch 2019 di sekolah kami.
Selesai sahaja menjawab kertas SPM bahasa arab, semuanya lompat bergembira kerana tamatlah sudah pengajian di peringkat menengah.
Bila selesai semuanya, masing-masing pulang tanpa memandang lagi kebelakang.
Bila ingin berpisah dengan sekolah, ada berpaling untuk mengucapkan ucapan terima kasih kepada guru-guru, ada berjumpa bersalaman mohon restu dan kemaafan dan ada juga pergi tanpa ucapan apa-apa seperti tiada keperluan berbuat setelah selesai semuanya, tidak mengapalah asalkan kalian selamat sentiasa.
Tetapi paling menyentuh hati saya, ada seorang pelajar kami, yang dahulunya bukanlah orang yang penting pun disekolah, kadang-kadang sering memberi masalah.
Dia hadir ke dalam pejabat, berjumpa dengan bahagian saya dan pentadbiran, ingin mengucapkan salam perpisahan, kata ingin mohon kemaafan salah dan silap.
Di akhir perbualan kami, ditanya kemana ingin pergi selepas ini, katanya ingin bantu ibu ayahnya dahulu dan mungkin selepas itu akan menyambung ke peringkat pengajian pondok di kelantan atau terangganu.
Sebagai guru, begitulah ucapan dan titipan saya seperti sentiasa, semoga kalian menjadi insan mulia, berjiwa kental, bermanfaat kepada agama dan manusia.
Perjalanan masih jauh, usahalah sehabis baik sehingga menjadi yang terbaik.
Semoga kita berjumpa lagi.
Zaid Jamal
Malim Nawar