Akademi Al Haramain yang diterajui oleh Datuk Haji Abdul Rahim bin Hj Abdullah selaku Pengasas dan CEO bersama Executive Director, Dato’ Haji Bahrudin A Rahman, komited untuk memajukan industri Haji dan Umrah di Malaysia dan kawasan sekitar Asia Tenggara dengan menaik-taraf dan memberi tunjuk-ajar kepada penggiat industry, bermula dari Mutawef, yang merupakan tonggak di dalam perkhidmatan Haji dan
Umrah, sehingga ke pihak pengurusan dan pasukan operasi dan juga penggerak perkhidmatan pengangkutan. Kursus yang diperkenalkan dalam tahun 2015 ini adalah hasil dari kajian terperinci dan tinjauan yang berdedikasi selama beberapa tahun semenjak Akademi ditubuhkan dalam tahun 2009. Akademi Al Haramain bekerja rapat dengan Asia e Universiti dan juga PRIMA untuk membangunkan kurikulum yang menyeluruh dan padu bagi menjadikan kursus ini sesuatu yang mantap bagi mereka yang berminat untuk menjadikan bidang Haji & Umrah sebagai satu perniagaan atau peluang pekerjaan. Kursus Mutawef ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja, dan penyertaan tidak terhad pada kerani agensi pelancongan, pemandu pelancong atau pun Pengurus Umrah sahaja. Akademi Al Haramain pernah menerima kehadiran bekas pegawai dari sektor keselamatan, telekomunikasi, IT, peniaga makanan dan berbagai lagi sector di dalam Kursus Mutawef ini. Akademi Al Haramain telah mula melatih kumpulan pertama seramai 100 orang pada 2009 dan berhasrat untuk melatih 1000 orang Mutawef setahun, yang mana 100 orang lagi akan menyertai program kursus ke peringkat diploma pada pertengahan tahun 2016. Mereka yang menyertai program kursus peringkat diploma ini berpeluang untuk menambah-baik dan memperkaya pengisian yang akan dibangunkan secara usaha-sama dengan penggiat industri demi memajukan industri Haji dan Umrah ke peringkat yang lebih hebat, sambil menambah-baik tahap hospitaliti untuk Tetamu Allah. Akademi Al Haramain dengan sokongan penggiat industri dan agensi pelancongan dan syarikat sistem komputer untuk pengurusan visa, insurans dan takaful, perbankan dan perkhidmatan perubatan dan penerbangan akan berganding bahu untuk mengembangkan industri supaya mereka yang berminat mempunyai banyak peluang dan pilihan. Pihak Akademi juga akan terus bekerja untuk membangun dan menambah-baikan keperluan yang ada secara menyeluruh, disamping bekerjasama dengan lebih cekap dan dinamik dengan agensi kerajaan di Malaysia dan juga di Arab Saudi selaku tuan rumah kepada Jemaah Haji dan Umrah.