06/02/2026
Program Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi
"SUNNAH 40"
📌Hadis 28: PESANAN TAKWA, TAAT DAN ILTIZAM DENGAN SUNNAH
Huraian:
• Rasulullah SAW memberi nasihat dan peringatan kepada sahabatnya dalam urusan agama mahupun urusan dunia sehingga memberi kesan pada hati para sahabat. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 63:
Terjemahan: “Mereka itulah orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka perkataan yang boleh memberi kesan pada hati mereka.”
• Wajib patuh kepada pemimpin (ulil amri) selagi tidak bertentangan dengan syarak.
• Setelah kewafatan Nabi SAW terdapat banyak berlaku perselisihan pandangan, ibadah dan pegangan akidah. Maka, Nabi SAW menyuruh berpegang dengan sunahnya dan sunah al-khulafa al- Rasyidin.
• Peringatan agar menjauhi perkara yang diada-adakan dalam agama kerana setiap bidaah yang tidak ada asasnya itu adalah sesat. Imam al-Syafie membahagikan bidaah itu kepada dua:
Pertama: bidaah mahmudah (bidaah yang terpuji iaitu menepati sunah).
Kedua: bidaah mazmumah (bidaah yang menyalahi sunah).
• Hadis ini menggalakkan agar sentiasa menyampaikan peringatan kerana dengannya boleh melembutkan hati. Lantaran itu, boleh memberi kesan positif kepada pendengar untuk melaksanakan amal kebaikan.
• Kelaziman berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunah terutama ketika berlaku perselisihan dan perpecahan.
• Melakukan perkara yang tidak ada asas dalam agama akan mengakibatkan amalan tidak diterima oleh Allah SWT.
• Ketakwaan kepada Allah SWT, menghindari perkara maksiat, taat dan patuh kepada pemimpin selagi tidak menyeru kepada melakukan perbuatan mungkar merupakan faktor kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
• Peringatan yang disampaikan dengan berhikmah dan ikhlas boleh memberi kesan kepada orang yang mendengar.