08/05/2026
Sekalung tahniah diucapkan kepada Dr. Fauzunnasirah Fazil atas pelantikan sebagai Ketua Pusat Pengajian, FPHP berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026. Semoga terus cemerlang dalam memimpin FPHP ke arah kejayaan yang lebih gemilang. 🌸
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada En. Akmal Adanan atas segala jasa dan bakti sepanjang menerajui FPHP.
27/04/2026
Tahniah dan syabas diucapkan kepada An-Amin Danial Bin Yuri Ngas’ari daripada kelas HM111 3A atas kejayaan meraih Pingat Emas dalam acara Taekwondo sempena pertandingan SUPER UiTM 2026 pada 24 April 2026.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), malah menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin semangat untuk melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berdisiplin, berdaya saing dan berprestasi tinggi di peringkat universiti serta kebangsaan.
26/04/2026
Tahniah diucapkan kepada Encik Akmal bin Adanan, KPP FPHP atas pelantikan sebagai Ketua Panel Juri iCoVEx 2026 yang telah berlangsung di Politeknik Muadzam Shah, Pahang baru-baru ini.
Semoga terus cemerlang dan memberi inspirasi kepada warga fakulti serta pelajar.
26/04/2026
REMBAU, 14 April 2026 – Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera Zon Selatan 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Biduanda, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, dengan penglibatan aktif pelajar FPHP sebagai antara penggerak utama penganjuran program. Program ini telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, yang menekankan kepentingan pemerkasaan ekuiti usahawan Bumiputera sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam sektor agro dan pelancongan.
Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian seperti sesi ucaptama, forum ekuiti Bumiputera dalam sektor agro pelancongan, majlis perasmian serta sesi libat urus meja bulat. Perbincangan ini membuka ruang kepada idea dan strategi baharu dalam memperkasa sektor agro dan pelancongan sebagai pemacu utama ekuiti usahawan Bumiputera, di samping menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Konvensyen ini turut menjadi medan perkongsian strategik antara akademia, industri dan agensi kerajaan dalam merangka resolusi yang lebih menyeluruh bagi pembangunan keusahawanan Bumiputera. Perasmian Kelab Generation Entrepreneur (Gen E) juga menjadi nilai tambah kepada program ini dalam membudayakan semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada wakil fakulti yang terlibat sebagai Jawatankuasa forum / Liaison Officer (LO), iaitu Encik Akmal bin Adanan, Zamzuri bin Ahmad Nazari dan Mohd Adib Izzat bin Mohd Nor, Dr. Nor Asikin binti Shaharuddin dalam perbincangan meja bulat serta seluruh pelajar yang telah memberikan sepanjang penganjuran program.
26/04/2026
"Secara ekonomi, acara berskala besar seperti ini merangsang perbelanjaan pelawat dan membuka peluang kepada peniaga tempatan, selari dengan trend peningkatan aktiviti pelancongan yang terbukti memberi impak langsung kepada ekonomi negara."
Tahniah kepada En Akmal Adanan atas penulisan artikel “Kepelbagaian Malaysia daya tarikan menjelang TMM 2026” yang diterbitkan di Melaka Hari Ini.
Siaran Media-Melaka Hari Ini
24 April 2026
"Sambutan Hari Air Sedunia 2026 Pacu Impak Negeri Melaka"
Berita Penuh:
https://www.melakahariini.my/sambutan-hari-air-sedunia-2026-pacu-impak-negeri-melaka/
Akmal Adanan
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan
UiTM Cawangan Melaka
26/04/2026
"Kepelbagaian budaya, tradisi dan komuniti di Malaysia menjadi identiti unik yang terus memikat pelancong. Menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, keindahan kepelbagaian ini bukan sahaja memperkukuh imej negara sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga menonjolkan keharmonian sosial yang menjadi daya tarikan utama."
Tahniah kepada En Mohd Adib Izzat Mohd Nor atas penulisan artikel “Kepelbagaian Malaysia daya tarikan menjelang TMM 2026” yang diterbitkan di Free Malaysia Today.
Kepelbagaian Malaysia daya tarikan menjelang TMM 2026
Malaysia perlu memperkukuh pendekatan pelancongan budaya berasaskan komuniti.
26/04/2026
Tahniah kepada En Mohd Adib Izzat Mohd Nor atas penulisan artikel “TMM 2026 buka ruang kerjasama pelancongan Malaysia-Uzbekistan” yang diterbitkan di Free Malaysia Today.
Siaran Media - Free Malaysia Today
15 April 2026
"TMM 2026 buka ruang kerjasama pelancongan Malaysia-Uzbekistan"
Berita Penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/pandangan/2026/04/15/tmm-2026-buka-ruang-kerjasama-pelancongan-malaysia-uzbekistan
Mohd Adib Izzat Mohd Nor
Pensyarah
Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP)
UiTM Cawangan Melaka
26/04/2026
FROM JONKER TO KAMPUNG: EXPERIENCE THE OTHER SIDE OF MELAKA
Melaka, 25 April 2026 – Program Mini Showcase Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 yang diketuai oleh Dr. Aziean Jamin, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, sedang berlangsung selama dua hari, bermula 25 hingga 26 April 2026, di sekitar Bandar Hilir, Melaka. Program ini melibatkan sekumpulan pelajar yang komited untuk memperkasa pembangunan pelancongan komuniti melalui pendekatan yang inovatif dan mampan.
Mini showcase ini berfungsi sebagai platform pembentangan serta pelaksanaan projek lapangan yang memfokuskan kepada pembangunan dan promosi destinasi pelancongan komuniti. Hasil projek yang dibangunkan akan dipamerkan sekali lagi di Kota Samarahan, Sarawak pada 12 hingga 14 Jun 2026, bagi bersaing dengan peserta IDCT 2.0 daripada pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara.
Inisiatif IDCT 2.0 merupakan program berimpak tinggi yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT). Program ini menekankan elemen pelancongan mampan, pemerkasaan ekonomi komuniti serta penggunaan inovasi digital dalam meningkatkan visibiliti dan daya saing destinasi pelancongan komuniti di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek, Homestay Kampung Paya Lebar, Melaka telah dipilih sebagai destinasi utama promosi berdasarkan keunikan sebagai perkampungan tradisional Melayu yang masih mengekalkan keaslian budaya dan gaya hidup masyarakat setempat. Antara tarikan berhampiran termasuk Sabak Arang, iaitu lokasi pemprosesan arang secara tradisional, serta Taman Lokan yang menawarkan keindahan alam semula jadi.
Selain itu, pengalaman menyusuri Sungai Linggi yang dikelilingi hutan bakau turut memberikan tarikan eko-pelancongan yang unik, dengan suasana yang mengingatkan kepada sungai tropika terkenal seperti Sungai Amazon. Pemilihan lokasi ini dilihat selari dengan objektif program untuk memperkenalkan destinasi pelancongan komuniti yang autentik, berpotensi tinggi dan berdaya saing di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, sejajar dengan agenda pembangunan pelancongan mampan negara.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan komuniti yang lebih inklusif, lestari dan berimpak tinggi di Malaysia.
Tourism Melaka
Mana lagi? Melaka ler!
.0
22/04/2026
SABAK BERNAM, 22 April 2026 – Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan pensyarah iaitu:
- Dr. Aziean Jamin,
- Dr. Chew Sze-Siong,
- Pn. Fadhilah Zainal Abidin,
- Pn. Nadia Hanim Mohd Wasilan
- Pn. Noordiana Sukur
atas pelantikan sebagai panel bagi Program 3rd Hospitality and Tourism Research, Innovation & Exhibition (HOTRIX) yang dianjurkan oleh Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam, Selangor.
Pengiktirafan ini mencerminkan kepakaran serta komitmen berterusan warga fakulti dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam bidang hospitaliti dan pelancongan. Semoga jalinan kerjasama strategik ini terus diperkukuh pada masa hadapan bagi memperkasa kecemerlangan akademik dan industri.
21/04/2026
MELAKA, 18 April 2026 – Program Hari Induksi yang bertemakan Nuansa Tradisi anjuran Kelab Hotel and Tourism (HOTOUR) telah berjaya dilaksanakan bagi menyambut kemasukan pelajar baharu sesi Mac–Ogos 2026 di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), UiTM Cawangan Melaka. Program ini telah disempurnakan oleh Encik Akmal bin Adanan, Ketua Pusat Pengajian FPHP. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Puan Fadhilah binti Zainal Abidin, Dr. Chew Sze-Siong, Encik Zamzuri bin Ahmad Nazri serta Dr. Nor Asikin binti Shaharuddin selaku penasihat Kelab HOTOUR.
Program ini berperanan sebagai platform utama dalam membantu pelajar baru Ijazah Sarjana Muda menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus serta memahami hala tuju akademik mereka. Sepanjang pelaksanaan, pelajar telah didedahkan kepada pelbagai input penting termasuk pengenalan fakulti, struktur semester, kaedah pembelajaran, etika profesional serta kemudahan sokongan yang disediakan.
Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap kepentingan komitmen berterusan untuk mencapai kecemerlangan akademik. Pelajar digalakkan untuk merancang strategi pembelajaran secara sistematik, sekali gus meningkatkan kesediaan mereka dalam menghadapi cabaran pengajian di peringkat universiti. Sesi pengenalan Kelab HOTOUR turut membuka peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan, membina jaringan sosial serta meningkatkan kebolehpasaran diri melalui penglibatan aktif dalam aktiviti fakulti dan persatuan.
Diharapkan program ini menjadi titik permulaan yang signifikan dalam membentuk pelajar yang berdaya saing, berdisiplin dan cemerlang, selaras dengan aspirasi fakulti dan universiti. Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak penganjur, barisan pensyarah serta semua pihak yang telah menyumbang dalam menjayakan program ini.
17/04/2026
ALOR GAJAH, 14 April 2026 – Program Induksi Diploma Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan telah berjaya dianjurkan oleh Hotel and Tourism Club (HATIC) bagi menyambut kemasukan pelajar baharu sesi Mac–Ogos 2026.
Program ini telah disempurnakan oleh Encik Akmal bin Adanan, Ketua Pusat Pengajian FPHP. Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Mohd Adib Izzat bin Mohd Nor dan Encik Mohammad Daim bin Darson selaku penasihat HATiC.
Penganjuran program ini menjadi platform penting dalam membantu para pelajar diploma menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus serta memahami dengan lebih jelas hala tuju pengajian mereka di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan. Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah didedahkan dengan pelbagai pengisian bermanfaat termasuk pengenalan fakulti, struktur semester, susun atur pembelajaran, etika serta professional protocol, di samping penerangan berkaitan saluran sokongan dan maklum balas pelajar yang disediakan oleh fakulti.
Program ini turut menekankan bahawa setiap pelajar perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam pengajian dan berusaha mencapai keputusan yang cemerlang pada setiap semester. Penekanan ini penting agar para pelajar sentiasa peka terhadap perjalanan akademik mereka serta mampu merancang pembelajaran dengan lebih teratur sejak awal pengajian.
Selain itu, sesi pengenalan Hotel and Tourism Club (HATIC) turut memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali peranan persatuan dalam membentuk semangat kepimpinan, jaringan mahasiswa dan penglibatan aktif dalam aktiviti fakulti. Program ini juga diserikan dengan sesi watikah pelantikan ketua kelas sebagai simbol amanah dan tanggungjawab kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Semoga program induksi ini menjadi titik permulaan yang baik buat semua pelajar diploma FPHP untuk melangkah dengan lebih yakin, berdisiplin, cemerlang dalam akademik dan bersemangat sepanjang perjalanan pengajian mereka. Tahniah dan syabas kepada pihak penganjur, barisan pensyarah serta semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.